Monday, April 30, 2012

artikel pilihan-mudahnya menjadi seorg suami

duk tengah baca artikel,tup..tup..terjumpa 1 artikel ni yg di tulis oleh ustaz ali irfan (brohamzah),..rasa tetarik untuk meneruskan bacaan.menarik untuk bakal-bakal raja sehari,artikel yang bertajuk mudahnya menjadi seorg suami.

Suatu petang yang hening lagi mendamaikan. Seorang abang dan adiknya berbual-bual panjang setelah begitu lama tidak bertemu. Maklumlah, kedua-duanya sibuk dengan pengajian masing-masing.

Dikesempatan ini mereka berbincang sesuatu yang bernada serius tetapi penuh dengan suasana harmoni.

"Abang rasakan, mudah sahaja untuk menjadi seorang suami," kata abangnya.

"Eh, kenapa abang cakap macam tu?," soal adiknya sedikit gusar.

"Mudahnya menjadi suami, jika kita buat persiapan dan persediaan," lanjut abangnya.

"Dan, yang menjadikan ia sesuatu yang sukar, payah dan membebankan apabila kita tidak bersedia dan bersiap dari segala perkara," tambah abangnya lagi.

"Ooo.. kalau kita bersedia memanglah abang, macam kita masuk exam la. Bagi saya bang, sebenarnya hendak melakukan persiapan dan persediaan itu yang susah. Ramai di kalangan kita hari ini melangkah ke alam rumah tangga tanpa persediaan dan persiapan yang rapi," adiknya berbual panjang mengulas seakan-akan berminat dengan tajuk yang diperbincangkan.

"Tapi, apa yang sebenarnya yang perlu kita persiapkan?," persoalan itu bermain-main di fikiran abangnya.

"Ha'a la, apa yang penting, segera dan utama?," tambah adiknya.

Saya yakin, setiap daripada kita mempunyai hasrat, keinginan dan berhajat untuk menjadi suami. Suami kepada seorang wanita dan gadis yang bergelar isteri.

Begitu juga bagi yang wanita – baik puteri-puteri manis, siswi-siswi dan nisa'-nisa' sekalian – menyimpan impian untuk memegang takhta sebagai seorang permaisuri di hati seorang insan yang bergelar lelaki. Ya, menjadi seorang isteri kepada seorang suami.

"Dan, kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui." [1]

Suami

Menjadi seorang suami adalah satu amanah, tanggungjawab dan bebanan yang sangat berat dan sangat-sangat penting. Saya teringat kata-kata seorang doktor perubatan dalam ceramahnya :

"Jatuh bangun sebuah keluarga, terletak sepenuhnya di atas pundak (bahu) seorang lelaki, suami dan ayah!." [2]

Apabila mendengar ungkapan ini, seram sejuk saya dibuatnya. Beratnya, menjadi seorang suami. Harus mengalas dan memikul amanah yang tersangat berat. Perlu mendidik, membimbing dan menunjuk ajar isterinya. Dan, sekiranya dizinkan Allah S.W.T suami juga akan menjadi ayah yang akan membesarkan, memberi nafkah dan memberikan pendidikan kepada anak-anaknya.

Sinisnya, ramai yang bersegera ingin menjadi suami dan ingin secepat yang mungkin untuk melangsungkan perkahwinannya, tetapi ramai yang tidak pernah terfikir untuk mempersiapkan diri untuk menjadi suami. Suami yang baik, terbaik dan bersiap sedia!

Saya tiada apa sangat yang ingin dikongsikan, cuma ingin mengajak sama-sama kita semak dan menilai apakah sebenarnya persiapan untuk menjadi seorang suami. Anda ingin menjadi suami atau tidak? Jika berhajat, ayuh sama-sama kita lihat dan semak diri kita. Bersedia atau belum?

3 Perkara Asas

Semasa bermusafir dengan murabbi saya, saya bertanyakan kepadanya apakah persediaan dan persiapan yang perlu kita lakukan sebelum melangkah ke alam perkahwinan? Beliau, memetik panduan yang diberikan oleh Hisyam al- Awadi bahawa kita perlu bersiapkan kepada 3 perkara asas sebelum mendirikan rumah tangga.[3]

01.Pertamanya, ialah mengenal dan mendalami ilmu Deen. Kita benar-benar mendalami aspek keagamaan kita meliputi semua aspek seperti keimanan, ketaqwaan, akhlak, muamalat dan perkara-perkara yang akan menjadikan kita sebagai seorang muslim muslimah yang sejati.

02.Keduanya, ialah mengenali dan mengetahui perbezaan antara lelaki dan perempuan.Mengetahui dengan jelas, siapakah sebenar lelaki dan siapakah sebenarnya perempuan. Memahami dan mengetahui secara umum mengenai perbezaan antara kedua-dua psikologinya dan corak kehidupannya.

03.Ketiganya, mengetahui apa itu Baitul Muslim daripada pelbagai sudut dan aspek. Menuntut banyak buku dan kitab berkaitan baitul muslim bermula daripada proses pemilihan calon isteri sehingga belajar bagaimanakah kehidupan baitul muslim yang diredhai oleh Allah S.W.T.

Persiapan, persediaan dan perapian

Saya kongsikan beberapa panduan, tips dan ilmu berkaitan hal ini berdasarkan perkongsian saya bersama mereka yang lebih arif, berilmu, pakar dan berpengalaman. Semoga Allah merahmati mereka. Insya-Allah.

Bakal-bakal suami harus bersiap sedia, meletakan mind setting dan perlu paksa diri untuk menjadi suami yang :

01.Mampu menjadi Imam kepada isteri dan rumahtangganya.

(a) Pemimpin keluarga iaitu kepada isteri dan anak-anaknya. Ia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap mereka.

Mampu membuat pemilihan dalam soal kehidupan, mempunyai kemahiran untuk berbincang dan membuat keputusan dan sanggup berkorban. Eh, bagaimana hendak belajar ini jika belum berkahwin? Murabbi saya sebut, kita sudah boleh belajar soal ini dalam kita menjalinkan persaudaraan dan persahabatan. Di dalamnya, begitu banyak ibrah dan iktibar yang kita boleh belajar.

(b) Mampu menjadi Imam solat berjemaah di dalam rumah tangganya. Ini penting, kerana rumah tangga yang diberkat oleh Allah S.W.T adalah rumah tangga yang di dalamnya ada nilai-nilai keagamaan antaranya ialah selalu mendirikan Solat bersama dan berjemaah. Harus selesai dalam soal bacaan al-Quran sebelum berkahwin. Surah al-Fatihah telah diperdengarkan bacaannya di hadapan ustaz-ustaz yang berkelayakan dan lulus bacaannya.

Banyak menghafal al-Quran sebagai pedoman dan kekuatan untuk jiwa dan hati. Semua ini harus diselesaikan sebelum mendirikan rumah tangga. Anda bagaimana?

(c) Pembimbing isteri yang bijak, lemah lembut dan bertoleransi. Mendidik isteri adalah tanggungjawab suami sepenuhnya. Suami perlu tahu secara teori teknik-teknik mendidik, keseniaannya, kaedah-kaedahnya, cara-cara perlaksanaannya, menegur dan menasihatinya dengan mencontohi Rasulullah S.A.W.

(d) Seorang lelaki yang kuat tarbiyah ruhaniyahnya. Ini kerana seorang lelaki yang akan mengemudi rumah tangga sangat-sangat berhajatkan kepada kekuatan roh yang tinggi untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang akan menimpanya dalam bentuk ujian dan cabaran. Al-Quran, al-Mathurat, Zikrullah dan solat sunatnya harus dilakukan secara konsisten.

Hal agama ini juga harus menjadi perkara asas dan agenda utama kepada kaum lelaki untuk memperdalaminya. Ia ibarat maruah kita. Jangan sehingga satu tahap, kita yang menolak isteri kita ke depan untuk mengimami solat kita!

Tanya diri anda, sebelum berkahwin. Adakah aku ini sudah biasa menjadi imam dalam solat? Perhatikan betul-betul perkataan saya, sudah biasa. Bukannya – pernah ya.

Saya pernah jadi Imam. Bukan yang itu, TETAPI saya biasa menjadi Imam.

Ya, itulah maksud saya. Kita sudah membiasakan diri kita mengimamkan solat berjemaah dan perkara ini tidak akan berlaku kecuali kita ini adalah mereka yang mementingkan solat berjemaah, merupakan ahli surau atau masjid dan sangat-sangat mencintai amal ibadah.

02.Mampu menjadi manager atau pengurus rumahtangga

Suami harus berkemampuan mengurus rumah tangga dengan bijak, cermat dan berhemah. Kemahiran pengurusan harus digilap dan dikembangkan dari semasa ke semasa. Antara kemahiran yang perlu dipelajari ialah kemahiran pengurusan kewangan, pengurusan tekanan, pendidikan kejiwaan, kemahiran komunikasi, kemahiran berbincang, mampu menghadapi konflik, mampu menjaga perhubungan, mengetahui perundangan institusi kekeluargaan, tahu untuk hidup berkeluarga secara sihat dan berkemahiran dalam membuat keputusan.

Perkara ini tersangat penting. Saya lihat ramai yang ingin berkahwin, tetapi gagal dalam soal mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin dan pengurus. Inilah antara kepincangan dan dilemma yang berlaku kepada para pengantin baru.

Sehinggakan, ada dikalangan kita (siapa?) begitu kekok untuk mengurus hal-hal yang mudah seperti membayar bil elektrik, mengurus hal berkaitan urusan kehidupan di kaunter bank dan sebagainya. Kerana apa? Kerana semasa muda tidak pernah cuba untuk belajar dan melakukanya. Ayuh, kita ringankan diri menerokai perkara-perkara ini di awal usia peringkat keremajaan kita. Anda mampu mengubahnya.

03.Menjadikan rumahtangga sebagai daya motivasi, pendorong dan kekuatan untuk menggapai kejayaan di dalam kehidupan.

Hal ini harus bermula dengan visi serta misi yang ditetapkan secara bersama oleh suami dan isteri. Perkara ini boleh dibincangkan secara serius apabila berumah tangga kelak, cuma saya pernah diingatkan oleh seorang murabbi bahawa rumah tangga ini adalah anak tangga kedua untuk sama-sama mencapai cita-cita pembangunan Islam dalam kehidupan ini.

Perkara terpenting juga ialah, mendirikan rumah tangga ini adalah bertujuan untuk mempertingkatkan keimanan kita kepada Allah S.W.T. Inilah asas yang utama dan terpenting. Bersama pasangan mengharungi arus kehidupan dengan ketabahan, kesabaran dan keazaman yang tinggi. InsyaAllah.

04.menjadi suami tidak lengkap jika tidak melakukan persiapan untuk menjadi seorang bapa atau ayah.

Saya masih ingat, seorang sahabat saya ketika beliau mula-mula menyatakan hasratnya untuk berkahwin kepada ayahnya. Lantas ayahnya bertanya :

"Sebelum berkahwin ini, ayah hendak tanya. Dah habis baca buku Tarbiyatul Aulad ( Pendidikan anak-anak)?"

Terkedu sahabat saya. Ke situ pula ayahnya bertanya. Kenapa ayahnya bertanyakan soalan sedemikian? Ia adalah berkaitan persoalan persediaan, persiapan dan mind setting untuk melihat bahawa perkahwinan ini bukalah sesuatu yang kecil.

Untuk yang berhajat berkahwin, kita harus melihat ke hadapan dan berpandangan jauh. Sekurang-kurangnya, kita melangkah ke alam perkahwinan dengan jiwa yang bersedia dan sudah mengetahui ujian-ujian dan cabarannya.

Mereka yang berjiwa besar, akan melakukan persiapan sebelum menempuhi jalan yang akan dilaluinya kerana mereka sudah mengetahui halangan-halangan di hadapan.

Alah, nanti bila dah kahwin kita mulakanlah...

Jika ayat ini yang terpacul keluar dari mulut kita, berwaspadalah. Kita sebenarnya, adalah seorang yang tidak berhajat untuk benar-benar mendirikan rumahtangga. Bermain-main dalam soal perkahwinan, bererti kita sudah meruntuhkannya sebelum berkahwin.

Dalam soal ini, ramai yang mengesyorkan kepada saya agar banyak membaca buku-buku yang berkaitan, antaranya :

(1) Buku Pemantapan Jatidiri Muslim, tulisan ulama muktabar seperti Apa Ertinya Saya Menganut Islam? Oleh Fathi Yakan, Keperibadian Mukmin oleh Ali al- Hashimi, Menuju Ketakwaan oleh Mustafa Masyhur dan banyak lagi.

(2) Perkongsian pengalaman dalam mendirikan rumah tangga boleh kita kutip dan timba daripada mereka yang lebih arif, berpengalaman dan telah lama mendirikan rumah tangga. Banyakan sesi perbincangan, sembang-sembang dan kutiplah rahsia pengalaman mereka. Mungkin kita jadikan ibu bapa kita sebagai tempat rujuk dalam soal sebegini. Perbincangan yang terbuka sangat diperlukan bagi memudahkan proses pembelajaran berkaitan pembinaan bahtera rumahtangga. Buku yang baik, saya cadangan tulisan Ustaz Hasrizal Mohd Jamil, Buku Aku Terima Nikahnya dan sebagainya.

(3) – Buku yang baik untuk mengetahui perbezaan psikologi antara lelaki dan wanita tulisan John Gray, Men Are From Mars, Women Are From Venus. Selain itu boleh harmonikannya dengan ceramah-ceramah dan tulisan-tulisan yang disampaikan oleh ulama muktabar yang anda kenali. Insya-Allah

(4)- Buku berkaitan pendidikan anak-anak. Harus baca dan dapatkan gambaran awal ialahTarbiyatul Aulad oleh Abdullah Nasih Ulwan. Buku yang sangat bagus untuk ditelaahi. Insya-Allah.

Penutup – Komentar seorang hamba

(1)- Persiapan, persediaan dan perapian sebelum melangkah ke alam perkahwinan harus dilihat secara serius, menyeluruh dan penting. Ini yang utama, persiapannya. Jika anda telah bersiap, insyaAllah kita akan melangkah dengan langkahan penuh keyakinan, kebergantungan dan kepasrahan kepada Allah SWT.

(2)- "We get married, to increase our Iman," : Slogan ini harus dibumikan. Perkahwinan adalah sebuah perjalanan untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kayu ukur yang diletakan dalam sebuah perkahwinan yang barakah, mawadah dan rahmah.

(3)- Menjadi suami begitu sukar, jika kita menempuhinya tanpa apa-apa persediaan dan persiapan. Seharusnya, kita sudah meletakan diri dalam lingkungan bersedia dengan ilmu, proses pendidikan diri dan berusaha meningkatkan amalan harian tanpa jemu dan bosan.

(4)- Bagi saya, menjadi seorang suami itu amat sukar jika kita tidak punyai hasrat, tekad dan usaha untuk memperbaiki diri dan melakukan perubahan. Bak kata orang, perkahwinan ini adalah turning point berubah dalam hidup. Ayuh kita lakukan perubahan dengan berkahwin!

___________________________

[1] Surah An Nur (24) : 32
[2] Dr Hafidzah Haji Mustakim, Klinik Perdana Cawangan Islah, Kursus Pra Perkahwinan Balai Islam Lundang, 21-22 Disember 2010
[3] Abu Munzir, Musafir Tarbawi Utara, 1 Oktober 2010

-Artikel Iluvislam.com


nurturing `alim mujahid



alhamdulillah setelah 3 hari berkampung kat kolej universiti islam antarabangsa selangor(kuis) dalam program hijrah menara gading(HIMEGA) yang diadakan kali ke 12 pada tahun ini mengukir senyuman kepada adik-adik lepasan spm kerana banyak input-input yang mereka dapat untuk dibekalkan sebelum melangkah ke menara gading kelak.Pengalaman sebagai fasilitator kepada adik ataupun gelaran yang lebih cocok buat mereka iaitu mujahid dan mujahidah amatlah berharga dan pertemuan di antara kita menyemai bibit-bibit ukhuwah fillah yang berkekalan insyaALLAH.Moga-moga ilmu yang diperolehi dapat di peraktikkan semasa di alam ipt nanti ya adik-adik,....


kumpulan 1
inilah kumpulan yg paling sempoi,...hensem-hensem semuanya,...berlatar belakangkan pemandangan ala2 kat jepun penambah seri lagi wajah2 mujahid-mujahid ini,...ditambah lagi fasinya yang cool,...^__^,..






RIBA-perlu di pelajari dengan teliti



Kemulian Akhlak Nabi Sallallahu’alaihi wasallam untuk dicontohi

Alkisah, hiduplah di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta, hari demi hari ia lalui dengan selalu berkata “Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya”.

Setiap pagi Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam melakukannya hingga menjelang Baginda Sallallahu’alaihi wasallam wafat. Setelah kewafatan Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta tersebut.

Suatu hari Abu Bakar, Radi-Allahu anhu, as-Siddiq berkunjung ke rumah anaknya Aisyah Radi-Allahu anha. Beliau bertanya kepada anaknya, “anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan”, Aisyah Radi-Allahu anha menjawab pertanyaan ayahandanya, “Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnahsaja”. “Apakah itu wahai anakku?”,tanya Abu Bakar Radi-Allahu anhu. Maka Aisyah Radi-Allahu anha menjawap, “Setiap pagi Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta yang berada di sana”, kata Aisyah Radi-Allahu anha.

Keesokan harinya, Abu Bakar Radi-Allahu anhu membawakan makanan dan menemui pengemis Yahudi buta tersebut. Pengemis Yahudi buta ini selalu berteriak-teriak dan berkata kepada orang yang mendekatinya. Abu Bakar Radi-Allahu anhu pun hairan, kenapa Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam memberi makan kepada orang yang menghinanya setiap hari.

“Wahai saudaraku..janganlah kalian mendekati Muhammad. Jangan sampai kalian terpedaya dengan tipu dayanya. Dia itu orang gila. Tukang sihir. Suka menyebarkan fitnah dengan agama barunya..!!” Kata-kata ini selalu meluncur dari mulutnya tiada henti setiap hari. Perkataan yang buruk yang merendahkan seorang nabi.

Sampai sahaja Abu Bakar Radi-Allahu anhu di hadapan pengemis itu lantas memberikan makanan, pengemis itu mengherdik, “Siapa kau..!!” “Aku adalah orang yang setiap hari memberi makan kamu..”

Abu Bakar Radi-Allahu anhu meyakinkan bahawa beliau adalah orang yang setiap hari memberikan ia makanan. Akan tetapi pengemis Yahudi buta itu tidak percaya kerana orang yang selalu memberinya makanan jauh lebih lembut dan lebih sabar dalam menyuapinya.

“Bukan..kamu bukan orang yang setiap hari memberiku makan..! Apabila dia kesini, aku tidak pernah kesusahan memegang makananku, aku juga tidak susah untuk memakannya bahkan dia telah meluembutkan makananku sebelum masuk ke mulutku..”

Dengan linangan air mata kerana terharu mendengar akhlak dari Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam. Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam selalu memberi makan dan menyuapi mulut dari orang yang setiap hari kata dari mulut itu hanyalah ucapan kotor dan hina yang merendahkan dan melecehkan diri-Nya. Ucapan kotor dan umpatan dibalas dengan suapan makanan dengan kasih sayang. Allahu Akhbar!

Kemudian Abu Bakar Radi-Allahu anhu menjawab “Aku memang bukan orang yang setiap hari memberimu makan. Akan tetapi, Beliau tidak akan datang lagi ke sini untuk memberimu makan..”

Mendengar hal itu, pengemis itu menangis dan berkata. “Apa salahku sehingga dia sudah tidak mahu menemuiku lagi? Sampaikan permintaan maafku sehingga dia mahu mendatangiku lagi..”

“Beliau sudah meninggalkan dunia ini dan akulah yang akan menggantikan Beliau. Aku adalah Abu Bakar Radi-Allahu anhu sahabat Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam. Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam adalah orang yang setiap hari menyuapimu..”

Seketika itu juga linangan air mata pengemis Yahudi buta makin deras membasahi pipinya lantas dia menyesal kerana orang yang selama ini diumpat dan dilecehkan harga dirinya adalah orang yang setiap hari dengan sabar menyuapinya. Saat itu juga, pengemis itu mengucapkan dua kalimat Syahadah dan masuk Islam di hadapan Abu Bakar Radi-Allahu anhu.

Dari cerita ini, jelas sudah betapa tingginya akhlak Nabi Sallallahu’alaihi wasallam. Beliau tidak pernah membenci orang yang mengumpatnya. Bahkan Nabi Sallallahu’alaihi wasallam tidak pernah membenci orang Yahudi atau Nasrani.

Tidak seperti sekarang, sesama orang Islam pun saling hentam-menghentam hanya untuk mempertahankan pendapatnya. Merasa dirinya benar. Melakukan kebaikan dengan cara yang buruk. Seperti orang-orang Islam sekarang yang sama sekali tidak mencermikan akhlak Nabi Sallallahu’alaihi wasallam.


Monday, October 17, 2011

WahaiPemuda

Satu catatan oleh : al-Syaheed Hassan Al-Banna


Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya , yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda. Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah. Itulah sebabnya maka angkatan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Allah berfirman;

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)


Dengan kesimpulan inilah maka kamu, angkatan pemuda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kamu itu akan menjadi bertambahberat. Oleh itu sepatutnya kamu berfikir panjang , bekerja keras , bahkan mestilah kamu menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna. Ada pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa. Di samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang. Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri. Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak. Kita, Angkatan Pemuda Islam ini, bertuah sebab kita termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata kita melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan. Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh angkatan yang terus menerus bekerja dan bertindak.


Wahai angkatan pemuda!

Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju. Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi. Memandang semua inilah saya berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.

Dakwah Islam Dalam Kurun Yang Keempat Belas Hijrah


Wahai angkatan pemuda !

Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-bangang, dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya. Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya. Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah "Islam yang maha suci" yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya.

Allah berfirman(Al-Imran:18-19):


Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.

Suatu lagi firman Allah (Al-Maidah:3):


Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.

Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak. Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.

Allah berfirman (Al-Imran : 85):


Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali - kali akan di terima.

Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan dikelubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya. Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya. Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahansejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan. Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita angkatan pemuda Islam ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita. Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah kita itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita. Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini. Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai. Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah :


Allah matlamat kami ;

Rasul itu ikutan kami ;

Al-Quran itu perlembagaan kami ;

Jihad jalan kami; dan

Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.

Wahai angkatan pemuda !


Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan kamu angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada kamu serta mendidik kamu atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan kamu di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da ' i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada kamu kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya. .

Allah berfirman (Ali-Imran:110):


Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.

Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):


Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.

Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru kamu ialah hendaklah kamu mempunyai keyakinan diri sendiri , dan hendaklah kamu menyedari martabat kamu dan yakinlah bahawa kamulah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan. Hendaklah kamu yakin bahawa kamu adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi kamu dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.

Oleh itu, wahai angkatan pemuda!

Hendaklah kamu menentukan matlamat dan haluan kamu. Ketahuilah bahawa titik kekuatan ialah iman . Hasil dari iman ini lahirlah perpaduan . Dengan ini tercapailah kemenangan yang cemerlang. Maka segeralah kamu beriman, berukhuwwah dan bertindak, kemudian tunggulah kemenangan dan sampaikanlah berita baik ini kepada seluruh para mukminin.

Seluruh dunia berada di dalam keadaan cengang -bengang lagi bergejolak. Segala sistem yang ada kini telah gagal mengubatinya. Tidak ada sebarang ubat untuk menyelamatkan dunia ini melainkan dengan Islam jua. Oleh itu, tampillah ke hadapan dengan nama Allah untuk menyelamatkan dunia itu kerana seluruh umat manusia sedang bertunggu-tunggu ketibaan seorang penyelamat dan juru penyelamat ini tidak akan berlaku melainkan dengan mengamalkan risalah (perutusan) Islam, iaitu risalah yang dibawa obor-obornya oleh kamu. Bangkitlah dan siarkanlah nya ke seluruh alam.


Wahai angkatan pemuda !

Ada pun manhaj atau program induk kita angkatan pemuda Islam memanglah mempunyai tahap-tahap yang tertentu, lengkap dengan rancangan-rancangannya yang terang lagi jelas. Sebenarnya kita memang benar-benar tahu apa yang kita kehendaki dan kita juga memang tahu bagaiman wasilah dan jalan yang boleh menyampaikannya kita kepada kehendak kita itu.


(1) Mula-mula sekali kita mahu diwujudkan individu muslim ; iaitu individu muslim dalam pemikirannya, muslim dalam aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya. Muslim dalam segala tindak-tanduknya. Ini dinamakan pembentukan keperibadian kita.


(2) Selepas itu kita mahu diwujudkan rumahtangga muslim , iaitu rumahtangga yang bersifat muslim dalam fikirannya, muslim dalam aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya, muslim dalam segala amalan serta tindak tanduk. Bagi mencapai matlamat ini kita memelihara wanita sama seperti mana kita memelihara angkatan pemuda. Ini dinamakan pembetukan keluarga kita.


(3) Selepas itu kita mahu diwujudkan umat Islamiyah , iaitu umat bersifat muslim dalam semua sudut yang tersebut tadi. Bagi mencapai maksud ini kita bekerja supaya seruan dakwah kita sampai ke setiap buah rumah. Kita berusaha supaya suara kita kedengaran hingga ke setiap tempat, supaya fikrah kita ini berpeluang meresap masuk keseluruh dusun dan desa, pekan dan bandar, kota dan negeri. Dalam hal ini kita tidak boleh kedekut tenaga seperti mana kita tidak akan membiarkan mana-mana wasilah yang mampu kita lakukan.


(4) Selepas itu kita mahu diwujudkan kerajaan Islam . Kerajaan yang memimpin umat ini menuju ke masjid, yang boleh mendorongkan orang ramai ke arah petunjuk Islam seperti mana didorongkan para sahabat Rasulullah s.a.w dahulu seperti Abu Bakar dan Umar. Untuk mencapai maksud ini kita tidak boleh menerima sebarang pemerintahan kerajaan yang tidak bertapak di atas asas Islam dan tidak mengambil ajaran dari sumbernya(Al-Quran dan As-Sunnah). Kita tidak dapat mengakui parti-parti sekular yang ada sekarang. Kita tidak dapat menerima segala bentuk dan corak yang sudah usang yang dipaksakan kepada kita oleh orang kafir dan musuh-musuh Islam supaya kita berhukum dengan undang-undang mereka. Akan tetapi sebaliknya kita akan terus bertindak untuk menghidupkan semua sistem pemerintahan Islam dalam semua bidangnya sehinggalah terbentuknya kerajaan Islam di atas asas sistem fikrah kita ini.


(5) Selepas itu kita mahu mencantumkan semula setiap bahagian tanahair Islam kita , tanahair yang telah dipecah belahkan oleh politik barat dan yang dihapuskan perpaduannya oleh sikap tamak-tamak dan haloba negeri-negeri Eropah. Bagi mencapai tujuan ini kita tidak dapat menyetujui segala pembahagian sempadan dan negara yang dilakukan dengan tujuan politik seperti yang ada sekarang. Kita juga tidak menerima segala perjanjian antarabangsa yang menyebabkan tanahair umat Islam dipecah-belahkan menjadi negeri-negeri kecil yang lemah dan dikotak katikkan supaya mudah ditelan oleh para perampas. Kita juga tidak akan berdiam membisu terhadap perbuatan menceroboh kebebasan umat-umat yang lemah ini dan segala bentuk cengkaman ke atas mereka. Mesir, Syria, Iraq, Saudi, Yaman, Libya, Tunisia, Algeria, Morocco, Malaysia dan setiap jengkal bumi yang di dalamnya terdapat insan muslim yang mengucapkan Lailaha illa Allah, semuanya itu adalah merupakan tanahair Islam yang terbesar. Kita terus menerus berusaha demi untuk memerdekakannya dan menyelamatkan serta melepaskannya dari cengkaman luar dan akhirnya mencantumkannya semula segala bahagiannya yang bercerai-berai itu.

Jika sekiranya seseorang Jerman itu meletakkan dirinya sebagai pembela kepada sesiapa sahaja orang yang berketurunan darah Jerman, maka aqidah Islam pula mewajibkan setiap orang muslim sebagai pembela kepada setiap insan yang meresap masuk ke dalam dirinya ajaran kitab Qur ' an. Menurut istilah Islam, faktor-faktor keturunan darah-daging tidak boleh dianggap lebih kuat hubungannya dari faktor iman kepada Allah. Dalam persoalan ini aqidah Islam itu yang merupakan segala sesuatu kerana iman itulah yang membezakan di antara kasih sayang dengan kebencian.


(6) Selepas ini kita mahu pula panji-panji Allah itu kembali berkibaran di angkasa segala pelusuk dunia yang pada suatu masa dulu pernah menikmati kebahagiaan hidup di bawah fikrah Islam , iaitu negeri-negeri yang pernah berkumandang suara azan dengan ucapan takbir dan tahlil membesarkan Allah. Kemudian malangnya negeri-negeri tersebut menjadi malap cahayanya lalu jatuh semula ke tangan kafir setelah beriman. Sepanyol, Sicily, negeri-negeri Balkan(Bosnia, Croatia, Serbia dll) dan Itali Selatan semuanya itu adalah negeri-negeri kepunyaan umat Islam yang mesti kembali semula kepangkuan Islam. Laut Mediterranean dan Laut Merah sebagai dua tasik kepunyaan umat Islam mestilah dikembalikan seperti sediakala.

Jika sekiranya Mussolini (Diktator Italy semasa perang dunia kedua) berpendapat bahawa beliau berhak mengambil empayar Rom yang telah diwujudkan di atas asas kehalobaan dan hawa nafsu, maka kita pula berpendapat bahawa kita adalah berhak mengembalikan keagungan empayar Islam yang telah diwujudkan di atas asas keadilan dan keinsafan dengan tujuan menyebarkan cahaya serta petunjuk bagi seluruh umat manusia.


(7) Selepas itu, di samping perkara-perkara yang dicita-citakan tadi, kita mahu mencanangkan seruan dakwah kita kepada seluruh dunia dan kita mahu menyampaikannya kepada sekalian umat manusia sehingga meresap keseluruh pelusuk bumi dan sehingga tunduklah setiap makhluk yang angkuh itu kepada seruan tersebut, agar tidak lagi berlaku fitnah dan kembalilah ugama itu semuanya kepada Allah. Pada ketika itu bergembiralah orang-orang mukmin dengan pertolongan Allah. Allah pasti menolong sesiapa yang di kehendakinya kerana Dia adalah Maha Gagah lagi Maha Penyayang.

Perlu di sebut bahawa setiap tahap program induk tadi telah lengkap mempunyai perencanaannya , pecahan serta wasilah-wasilah yang boleh digunakan. Tetapi di sini kita memadai dengan serba ringkas tanpa membicarakannya dengan panjang dan perincian. Allah jualah tempat kita memohon pertolongan dan memadailah Dia sebagai tumpuan kita dan sebaik-baik pengawal.

Biarlah orang-orang yang culas serta pengecut itu berkata kononnya dakwah kita ini " hanya suatu angan-angan yang begitu jauh dan suatu dongengan yang menawan hati manusia.

Sebenarnya itulah yang dikatakan kedayusan yang kita tidak pernah kita kenali dan tidak juga diajar oleh Islam. Itulah dia yang dikatakan al-wahn atau sifat pengecut yang dilemparkan ke dalam hati umat kita ini lalu mendedahkannya kepada musuh-musuh, dan itulah yang dikatakan kemusnahan hati sanubari serta kekosongannya dari iman dan inilah yang merupakan sebab kejatuhan umat Islam.

Namun demikian, kita tetap mengistiharkan dengan jelas serta terus terang bahawa sesiapa orang muslim yang tidak percaya kepada program induk dakwah kita ini dan tidak bekerja untuk menjayakannya maka mereka tidak langsung mempunyai saham kepada Islam. Eloklah ia mencari fikrah lain untuk dipercayai dan bekerjalah dengan ideologi tersebut.


Wahai angkatan pemuda,

Sebenarnya kamu sekarang tidaklah begitu lemah berbanding dengan angkatan yang terdahulu dari kamu yang diberikan kemenangan oleh Allah hasil usaha mereka. Oleh itu janganlah kamu merasa hina, merasa lemah malah hendaklah kamu meletakkan di ruang matahati kamu akan firman Allah (Al-Imran:173):


Mereka berkata kepadanya: sesungguhnya orang ramai telah pun mengumpulkan tenaga terhadap kamu, hendaklah kamu merasa takut kepada mereka itu, tetapi mereka ini menjadi bertambah kuat imannya. Lalu mereka berkata memadailah Allah itu untuk kami dan Dialah sebaik-baik pengawal.

Kita akan mendidik diri kita sendiri supaya terbentuklah dari kalangan kita ini apa yang dinamakan individu muslim. Kita juga akan mengasuh rumahtangga kita supaya lahirlah daripadanya nanti apa yang kita sebutkan sebagai rumahtangga muslim. Kita juga akan membentuk umat kita supaya terbentuklah apa yang dinamakan umat Islam. Dan sudah tentu kita akan turut serta ke dalam umat Islam ini dan kita akan terus menerus bergerak menurut langkah-langkah yang sudah ditetapkan menuju hingga ke hujung jalan dan sehingga tercapai sasaran yang Allah tentukan kepada kita; bukan sasaran yang kita sendiri menentukannya. Dan dengan izin Allah serta pertolongannya kita akan tiba di matlamat yang ditujui. Allah tetap enggan melainkan mesti menyempurnakan citaNya walaupun dibenci oleh orang kafir.

Bagi menghadapi persoalan ini kita telah pun menyediakan iman yang sekali-kali tidak akan bergoyang, kerja-kerja yang tidak tersekat-sekat, kepercayaan yang tidak luntur kepada Allah, bahkan kita juga telah menyediakan jiwa raga yang merasai sebahagia-bahagia hari baginya ialah hari yang mereka gugur sebagai para syuhada ' di jalan Allah.

Jadikan itu semua sebagai polisi dalaman dan luaran kita kerana kita mengambil pengertian tersebut dari hakikat Islam sendiri. Pemisahan di antara ugama dengan politik bukanlah dari ajaran Islam yang maha suci. Orang Islam yang tulin keugamaannya dan yang benar-benar memahami segala pengajarannya tidak mengerti pemisahan seperti itu. Oleh itu sesiapa jua yang cuba hendak memesongkan kita daripada hakikat manhaj ini, maka eloklah dia meninggalkan kita kerana orang seperti itu tidak terkeluar dari salah satu dari dua jenis manusia iaitu:

musuh kepada Islam atau pun jahil mengenai hakikat Islam.


Wahai angkatan pemuda !

Silaplah orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini ialah suatu kumpulan Darwisy-Tok Lebai yang mengongkong diri di dalam ruangan sempit ibadat Islam yang hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, zikir dan tasbih sahaja. Sebenarnya angkatan Islam yang pertama dahulu tidaklah memahami hakikat Islam dalam bentuk yang sempit seperti itu; mereka juga tidak beriman dengan cara begitu; akan tetapi mereka itu beriman dengan Islam sebagai aqidah serta ibadat, sebagai tanahair dan kebangsaan, sebagai akhlak serta kebendaan, sebagai kebudayaan dan undang-undang serta toleransi dan kekuatan.

Mereka yakin bahawa Islam itu adalah suatu sistem yang sempurna yang sesuai dengan segala bidang kehidupan dan mampu menyusun urusan dunia seperti mana ia menyusun urusan ke akhiratnya. Mereka yakin Islam itu sebagai suatu sistem yang mempunyai kedua-dua sudut amalan dan teorinya sekali. Dengan keyakinan seperti itu maka Islam bagi mereka ialah ugama dan negara serta Qur ' an dan pedang.

Namun demikian mereka tidaklah pula lalai dari menunaikan urusan peribadatan mereka dan tidak culas menunaikan segala fardhu yang diwajibkan untuk Tuhan mereka. Mereka cuba sedaya upaya untuk mengelokkan lagi tata tertib solat. Mereka juga membaca kitab Allah serta berzikir kepada Allah menurut cara yang disuruh oleh Allah dalam batas-batas yang ditentukan kepada mereka, tanpa mengada-ngada dan melampau-lampau, dengan tidak bermain-main di kulit luar dan tidak pula terlampau mendalam berlebih-lebihan. Mereka itu lebih mengetahui mengenai sabda Rasulullah s.a.w yang bererti:


Sesungguhnya ugama Islam ini amat kukuh; oleh itu resapilah ke dalamnya perlahan-lahan. Sesungguhnya orang yang sangat keterlaluan itu akhirnya tidak ada bumi yang dijalaninya malah tidak pula ia kekal sebarang tunggangannya.

Meskipun demikian namun mereka tetap jua mengambil bahagian mereka dari keduniaan sekira-kira kadar yang tidak merosakkan akhirat mereka; mereka beramal dengan firman Allah: (surah Al - A ' raf : 32)


Katakanlah: siapakah pula yang mengharamkan perhiasan Allah yang diberikannya kepada hamba-hambanya dan juga rezeki yang baik-baik itu ?

Angkatan Islam mengerti bahawa sebaik-baik gambaran yang diberi kepada para sahabat Rasulullah s.a.w ialah:


Ertinya :

Pendeta di malam hari dan satria yang gagah perkasa di siang hari.

Demikianlah pula angkatan Islam ini cuba membentuk diri mereka - Allah jualah tempat kita memohon pertolongan.

Silaplah juga mereka yang menyangka kononnya angkatan Islam mengabaikan tanahair dan patriotik.

Sebenarnya orang-orang Islamlah yang paling ikhlas kepada tanahair mereka . Merekalah yang paling banyak berkorban kepada tanahair. Merekalah orang yang paling menghormati sesiapa juga yang bekerja dengan ikhlas untuk tanahair. Lihatlah, saudara sendiri mengetahui sejauh mana angkatan Islam menyintai tanah air dan setinggi mana pula mereka bercita-cita untuk kebaikan umat mereka.

Tetapi perbezaan di antara orang-orang Islam dengan orang-orang lain yang mendakwa pejuang tanahair ialah asas patriotis Islam ialah aqidah Islamiyah. Oleh itu maka pejuang Islam yang bekerja untuk sesebuah tanahair -misalnya Mesir(atau Malaysia), berjuang pada jalannya dan mereka sanggup mati dalam jihad seperti itu adalah kerana negeri Mesir itu ialah termasuk ke dalam bumi Islam. Mereka kemudiannya tidak pula membataskan perasaan patriotis ini kepada negeri Mesir sahaja tetapi mereka merangkumkan juga setiap bumi Islam dan setiap tanahair orang-orang Islam.

Adapun pencinta tanahair yang tidak bersifat Islam akan membataskan kecintaannya itu kepada bangsanya sahaja. Mereka pula biasanya hanya berjuang kerana ikut-ikutan, sukakan promosi, mencari kebanggaan atau kerana kepentingan-kepentingan yang tertentu. Mereka berjuang bukan menurut kewajipan yang Allah turunkan kepada hamba-hambanya.

Memadailah untuk saudara mengetahui bahawa faham patriotisma mengikut angkatan Islam ialah mereka yakin dengan sepenuhnya bahawa kecuaian terhadap sejengkal sekalipun dari bumi yang didiami oleh orang-orang Islam adalah suatu jenayah yang tidak boleh diampuni, hinggalah mereka dapat mengembalikannya atau pun biarlah mereka mati kerana berjuang untuk mengembalikannya. Mereka yakin bahawa mereka tidak akan terselamat dari balasan Allah melainkan dengan berbuat demikian.

Silaplah lagi orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini merupakan penyeru ke arah kemalasan atau keculasan . Sebenarnya angkatan Islam mengistiharkan saban waktu bahawa seseorang muslim itu mestilah menjadi pimpinan dalam segenap perkara. Mereka tidak berpuas hati selagi tidak dapat memimpin, bekerja, dan berjuang serta mendahului orang lain dalam setiap urusan, sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, kekuatan, kesihatan, dan juga kekayaan.

Perlu disebut bahawa apa jua kemunduran dalam sesuatu bidang adalah merosakkan fikrah perjuangan kita dan menyalahi pula ajaran ugama kita.

Meski pun demikian kita memanglah menolak fahaman kebendaan(materialisma) yang menimpa umat manusia, lalu membawa mereka ke arah hidup untuk diri sendiri sahaja(individualistik) dan mendorong mereka mengguna segala kemudahan semula jadi, segala masa dan tenaga ke arah kehebatan diri sendiri semata-mata. Dengan demikian maka seseorang dari mereka itu tidak akan bekerja untuk faedah orang lain walau sekecil-kecil khidmat sekalipun malah ia tidak akan mengambil tahu walau sedikit pun dari hal umatnya. Sabda Nabi saw yang bermasud:


Sesiapa yang tidak menghiraukan urusan umat Islam maka dia bukanlah daripada mereka.

Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud:


Allah mewajibkan kesempurnaan dan keelokkan dalam setiap perkara.

Silap juga orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam itu adalah juara penyeru ke arah sentimen perkauman. Sebenarnya kita dari angkatan Islam ini memahami bahawa Islam sangat-sangat menghormati hubungan umum di kalangan umat manusia seperti mana yang tersebut di dalam firman Allah(surah Al-Hujurat:13):


Wahai sekalian manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal - kenalan.

Kita mengetahui bahawa Islam itu datang membawa kebajikan kepada semua manusia dan sebagai suatu rahmat kepada sekalian makhluk. Mana jua ugama yang tugasnya demikian rupa adalah jauh sekali dari perbuatan yang memecah belahkan hati manusia dan hasut-menghasut sesama mereka. Qur ' an sendiri menguatkan perpaduan ini dengan firman Allah (Al- Baqarah:285):


Kami tidaklah membeza-bezakan sesiapa pun dari antara para Rasulnya.

Perlu disebut bahawa Islam melarang dan mengharamkan pencerobohan hinggakan dalam keadaan kemarahan dan permusuhan sekalipun, Allah berfirman (Al-Maidah: 8):


Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh kedudukan satu-satu pihak sehingga kamu berlaku tidak adil kerana ianya adalah lebih hampir kepada taqwa.

Dan Islam menganjurkan kebajikan dan kebaikan di kalangan warga negara sesebuah negara walaupun mereka itu berlainan aqidah dan ugama. Allah berfirman (Al-Mumtahanah:8):


Allah tidaklah menegah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu pada ugama dan yang tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu.

Islam juga menganjurkan kita berlaku adil kepada orang-orang zimmi (orang tidak Islam di dalam negara Islam) dan bergaul baik dengan mereka. Ini ialah menurut dasar :


Ertinya:

Mereka mendapat hak sama seperti kita dan mereka memikul tanggungjawab seumpama kita juga.

Kita mengetahui semuanya itu; oleh kita tidaklah menyeru ke arah faham apartheid dan tidak juga ke arah faham fanatik kelompok. Walaubagaimanapun, kita tidaklah pula menjual iman kita dengan harga perpaduan tersebut dan kita tidak juga bersedia untuk tawar-menawar kerana menegakkan perpaduan tadi sehingga tergadai akidah kita. Kita tidak akan sanggup berusaha untuk menegakkan perpaduan tersebut hingga mengorbankan kepentingan orang-orang Islam. Sebaliknya, cukuplah kita bersedia mengorbankan perpaduan demi kebenaran dan keadilan, tetapi lebih dari itu.

Oleh itu, barang siapa cuba membuat selain dari itu maka tentulah kita mesti menghalangi perbuatannya dan kita akan jelaskan kepadanya kesilapan fahamannya itu. Bagi Allahlah segala kebesaran dan bagi Rasulnya dan juga bagi orang-orang mukminin.

Suatu kesilapan juga orang-orang yang menyangka angkatan Islam ini bekerja untuk kepentingan badan yang tertentu atau pun mereka bergantung dagu kepada mana-mana kumpulan. Sebenarnya angkatan Islam ini bekerja untuk mencapai segala matlamat mereka sendiri menurut petunjuk dari Tuhan mereka iaitu bersama Islam dan pemeluknya di setiap masa dan tempat. Mereka membelanjakan apa yang dianugerahkan oleh Tuhan mereka demi untuk mencapai keredhaannya. Mereka merasa bangga kerana sehingga sekarang pun mereka masih belum pernah lagi menadah tangan kepada sesiapa dan mereka tidak pernah meminta pertolongan dari mana-mana orang atau badan atau pun mana-mana kumpulan.


Wahai angkatan pemuda !

Di atas dasar-dasar yang tetap dan berdasarkan ajaran-ajaran yang mulia inilah kita menyeru anda sekalian. Jika anda percaya kepada fikrah perjuangan ini dan anda menurut jejak langkahnya, memasuki bersama kita jalan Islam ini, melepaskan diri dari sebarang fikrah yang lain, menguntukkan segala tenaga untuk aqidah anda, maka itu adalah sebaik-baik pendirian untuk anda di dunia dan juga di akhirat. Insyaallah, Tuhan akan menjayakan melalui anda seperti mana yang dijayakannya melalui angkatan salaf yang terdahulu dari anda ketika zaman permulaan dulu.

Dengan itu, setiap pekerja yang ikhlas dari anda yang bekerja di jalan Islam akan mendapati balasan yang memuaskan cita-cita nuraninya dan setimpal dengan masanya, jika ia benar-benar termasuk ke dalam golongan pejuang-pejuang tulin.

Akan tetapi sebaliknya, jika anda enggan dan terus menerus berdolak-dalik dan teragak-agak, atau masih mencari-cari antara perjuangan bukan Islam sebenar yang telah ternyata gagal, maka ketahuilah bahawa batalion tentera Allah akan terus mara tanpa menghiraukan sama ada sedikit atau ramai dengan penuh yakin kepada firman Allah (Al-Imran:126):


Kemenangan itu hanyalah dari Allah Maha Gagah lagi Bijaksana.



RINGKASAN ISI - WAHAI PEMUDA !

Pemuda adalah harapan semua ummat untuk mengembalikan ummat. Perlukan:

1 Fikir tentang ummat lebih banyak dari fikir diri sendiri.

2 Faham dakwah yang betul

Dakwah kurun ke 15 Hijrah

3 Hanya satu dakwah yang boleh menyelamat manusia - ISLAM (5:3) manusia sedang menunggu-nunggu.

4 Ianya perlukan pengorbanan (Kesah Seerah Nabi dan Sahabat)

5 Fikrah Islam hendaklah tulin (tanpa seleweng , tambah atau kurang). (3:85) Musuh telah cuba merosakkan Islam beberapa lama.

Tugas kita:

6 Menceritakan hakikat Islam dengan jelas(teori).

7 Mengajak beramal dengan Islam yang syumul (amali).

8 Menjadikan Al-Quran & Sunnah rujukan utama.

9 Berjuang terus hingga mati.

10 Slogan kita : 'Allah matlamat - Rasul Ikutan - Quran perlembagaan - Jihad jalan & Mati syahid cita-cita tertinggi'.

11 Berkeyakinan diri ; kita adalah 'tuan' di bumi ini. Kemenangan adalah milik kita.

12 Titik kekuatan:

13 Iman

14 Ukhuwwah

15 Zahir (Tubuh badan, senjata, peralatan, pengurusan dsb)

16 Program kita:

17 Individu Muslim

18 Rumahtangga Muslim

19 Ummat Islam

20 Kerajaan Islam

21 Watan Islam (Tanahair)

22 Menawan balik negeri Islam yang dirampas.

23 Menjadi pemerintah dunia.

Lain-lain

24 Disangka angan-angan oleh manusia. Siapa tidak bekerja kearah ini maka sila cari cara lain.

25 Kita bukan lemah (3:173)

26 Kita tidak akan memisahkan agama dan negara, solat dan masyarakat dll.

27 Islam adalah sistem yang sempurna.

28 Mengapa orang sangat memperelokkan solat tetapi melalaikan bidang Islam yang lain?

29 Orang Islam ialah: Pendita dimalam hari dan satria disiangnya.

30 Kita tidak mengabaikan negara dan bangsa kita tapi semua kerana Iman.

31 Kebangsaan kita adalah semua negara Islam.

32 Kita hendaklah maju dalam semua perkara kerana kemunduran akan merosakkan kita.

33 Hendaklah melepaskan dari sebarang fahaman lain selain Islam.

34 Hendaklah menguntukkan seluruh tenaga dan masa untuk Akidah ini.

35 Kita akan capai antara 2 kebaikan: Menang atau Syahid.

36 Siapa yang masih teragak-teragak dan berdolak dalih, Tentera Allah akan terus berjalan meninggalkannya tanpa mengira sedikit atau ramai (3:126)

Saturday, October 15, 2011

KISAH HIDUP KAMAL ATARTUK LAKNATULLAH!

Teladan Dari Kisah Hidup Mustafa Kamal Attatuk

IDEOLOGI KAMAL ATARTUK DI TURKI
1. Membolehkan perempuan memakai tudung dengan syarat pakai skirt/ROK.
2. Membolehkan lelaki memakai seluar panjang dengan syarat pakai tie dan topi (sesuai dengan kehendak barat)
3. Menyuruh wanita dan lelaki menari di khalayak ramai. Beliau sendiri pernah menari dengan seorang wanita di sebuah parti umum yang pertama di Ankara.

4. Beliau pernah menegaskan bahawa "negara tidak akan maju kalau rakyatnya tidak cenderung kepada pakaian moden"
5. Menggalakkan minum arak secara terbuka.
6. Mengarahkan Al-Quran dicetak dalam bahasa Turki
7. Menukar azan ke dalam bahasa Turki. Bahasa Turki sendiri diubah dengan membuang unsur-unsur Arab dan Parsi.
8. Mengambil arkitek-arkitek dari luar negara untuk memodenkan Turki. Hakikatnya mereka diarah mengukir patung-patung dan tugu-tugunya di seluruh bandar Turki.
9. Satu ucapan beliau di bandar Belikesir di mana beliau dengan terang-terangannya mengatakan bahawa agama harus dipisahkan dengan urusan harian dan perlu dihapuskan untuk kemajuan
10. Agama Islam juga di buang sebagai Agama Rasmi negara.
11. Menyerang Islam secara terbuka dan terang-terangan
12. Menggubal undang-undang perkahwinan berdaftar berdasarkan undang-undang barat.
13. Menukar Masjid Ayasophia kepada muzium, ada sesetengah masjid dijadikan gereja.
14. Menutup masjid serta melarang dari bersembahyang berjemaah.
15. Menghapuskan Kementerian Wakaf dan membiarkan anak-anak yatim dan fakir miskin.
16. Membatalkan undang-undang waris, faraid secara Islam
17. Menghapus penggunaan kalendar Islam dan menukarkan huruf Arab kepada huruf Latin.
18. Menganggap dirinya Tuhan sama seperti Firaun.

Berlaku peristiwa apabila salah seorang askarnya ditanya "siapa tuhan dan dimana tuhan tinggal?". Oleh kerana takut, askar tersebut menjawab 'Kamal Atartuk adalah tuhan". Beliau tersenyum dan bangga dengan jawapan yang diberikan oleh askar itu.

KEMATIAN KAMAL ATARTUK YANG MENYEKSAKAN

Di saat kematiannya, Allah telah datangkan beberapa penyakit kepada beliau sehingga beliau rasa terseksa dan tak dapat menanggung seksaan dan azab yang Allah berikan di dunia.

Antaranya ialah:
1. Didatangkan penyakit kulit hingga ke kaki di mana beliau merasa gatal-gatal seluruh badan.
2. Sakit jantung
3. Penyakit darah tinggi
4. Panas sepanjang masa, tidak pernah merasa sejuk sehingga terpaksa diarahkan kepada bomba untuk menyiram rumahnya 24jam.

Pembantu-pembantunya juga diarahkan untuk meletak ketulan-ketulan ais di dalam selimut untuk menyejukkan beliau. Maha suci Allah, buat macam mana pun rasa panas tak hilang-hilang. Oleh kerana tidak tahan dengan kepanasan yang ditanggung, beliau menjerit sehingga seluruh istana mendengar jeritan itu. Oleh kerana tidak tahan mendengar jeritan, mereka-mereka yang bertanggung jawab telah menghantar beliau ke tengah lautan dan diletakkan dalam bot dengan harapan beliau akan merasa sejuk. Allah itu Maha Besar, panasnya tak juga hilang! Pada 26 September 1938, beliau pengsan selama 48 jam disebabkan terlalu panas dan sedar selepas itu tetapi beliau hilang ingatan.

Pada 9 November 1938, beliau pengsan sekali lagi selama 36 jam dan akhirnya meninggal dunia. Sewaktu beliau meninggal, tidak seorang pun yang memandi, mengkafan dan menyembahyangkan mayat beliau. Mayat ini diawetkan selama 9 hari 9 malam, sehingga adik perempuan beliau datang meminta ulama-ulama Turki memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkannya.

Tidak cukup dari itu, Allah tunjukkan lagi balasan azab ketika mayatnya di bawa ke tanah perkuburan. Bila mayatnya hendak ditanam, tanah tidak menerimanya (saya tak dapat nak bayangkan bagaimana tanah tidak menerimanya). Disebabkan putus asa, mayatnya diawetkan sekali lagi dan dimasukkan ke alam muzium yang diberi nama Etna Grafi (kalau tak silap dengar) Ankara selama 15 tahun (sehingga tahun 1953).

Selepas 15 tahun mayatnya hendak ditanam semula, tapi Allah Maha Agung, bumi sekali lagi tak menerimanya. Habis ikhtiar, mayatnya dibawa pula ke satu bukit ditanam dalam satu binaan mar-mar beratnya 44 ton. Mayatnya ditanam di celah-celah batu mar-mar.

Apa yang menyedihkan, ulama-ulama sezaman dengan Kamal Atartuk telah mengatakan bahawa "jangan kata bumi Turki, seluruh bumi Allah ini tidak menerima Kamal Atartuk!"

Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Renung dan fikirkanlah!