Sunday, October 10, 2010

FITRAH MENJADI FITNAH




Hati remaja selalu berkata, apakah salah kami bercinta?

Rasa cinta memang tidak salah.Ia adalah fitrah semulajadi (instinct) yang
ALLAH swt kurniaan kepada setiap manusia. Ingin bercinta dan
dicintai adalah instinct. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti 
jasad perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka 
tentulah tidak salah merasainya. Namun ALLAH tidak kurniakan cinta 
secara polos begitu saja. Dia juga pencipta peraturan cinta demi 
menjaga kemurniaannya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar. Rasa 
cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalin 
hubungan cinta. Di sinilah selalunya remaja terjebak. Cinta 
terlarang adalah cinta yang menafikan peraturan yang telah 
ditetapkan oleh ALLAH swt. Ketika itulah FITRAH telah menjadi 
FITNAH. Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi 
mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan. 
 
Mengapakah perlu ada peraturan cinta? 
 
Jawabnya kerana ALLAH swt mencintai manusia hambaNYA. Allah 
inginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia 
melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya. Keinginan tanpa 
peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan. Begitulah hubungan 
cinta yang terlarang akan membawa banyak implikasi negatif dalam 
kehidupan. Pengalaman sudah pun mengajar kita bahawa jangan 
sesekali bermain cinta, nanti terbakar diri. 
Sudah banyak tragedi yang berlaku akibat hubungan cinta yg 
membelakangkan Tuhan! Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan 
menyalahi syariat. Lebih banyak perlanggaran hukum berlaku, lebih tinggilah risiko
 kemusnahan yang akan berlaku. Jangan kuat tertipu dengan pesona cinta yang
 dihiasi dengan pelbagai janji dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu 
dan asyik yang membuai dan melenakan. Seteguk kita minum dari kendi cinta
 terlarang, racunnya akan 
meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika itulah cinta 
dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan mata kepala 
sehingga seseorang akan menjadi hamba kepada sesiapa yang 
dicintainya. Ketika itu hati tidak nampak yang lain kecuali apa yang 
dicintainya. Lupalah diri pada pencipta cinta kerana terlalu asyik 
dengan cinta yang dikurniakaNya. Bagaimanakah pula perasaan kita 
agaknya jika seseorang itu begitu leka dengan hadiah yang 
diberikan hingga terlupa bersalaman dan berterima kasih dengan 
pemberinya? 
 
Allah swt kerap dipinggirkan dalam hubungan cinta terlarang. 
Seolah-olah cinta dan pencipta cinta itu sudah tidak ada kaitan 
antaranya. Hukum ALLAH dilanggar bukan dengan rasa bersalah tetapi 
dengan rasa manis dan megah. 
 
Tangan kekasih dipegang walaupun jelas ALLAH mengharamkan sentuhan 
antara lelaki dan perempauan yang bukan muhrim. 
 
Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan 
Nabi bahawa dalam keadaan itu syaitan adalah pihak ketiga. Lebih dari itu pun 
banyak berlaku. 
 
Semuanyanya seolah-olah halal kerana cinta. Racun-racun berbisa yang
 memusnahkan cinta telah dianggap sebagai baja. Akhirnya pohon 
cinta terlarang pun berbuah. Buah yang pahit, masam dan memabukkan.
 Buah yang muncul dengan pelbagai jenama yang aneh dan menjijikkan - zina,
 sumbang mahram, bohsia, bohjan, buang bayi dll lagi. 
 
Ketika itu indahkah cinta? 
 
Peraturan cinta bagai tanda-tanda dan lampu isyarat di atas jalan 
raya. Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak tetapi 
pergerakkannya perlu diatur dan dikawal. Jika tidak, dengan kuasa 
itu akan berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah 
cinta, ia adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan 
kawalan. 
 
Apakah peraturan-peraturan dalam hubungan cinta? 
 
Hendaklah cinta kita itu didasarkan kepada cinta ALLAH. 
Ertinya cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana 
mengharapkan keredhaan ALLAH. 
ALLAH memberikan kita fitrah itu lalu niatkan dengan fitrah itu 
boleh menghampirkan diri kita kepada ALLAH swt. 
Cintailah sesiapa pun, tetapi pastikan cinta itu dapat 
memudahkan kita mencintai ALLAH. 
Sehubungan dengan itu, cinta antara lelaki dan perempuan mestilah 
diniatkan untuk ALLAH!. 
 
Soalnya bagaimana? 
 
Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih 
memudahkan seorang lelaki atau seorang perempuan menyempurnakan 
agamanya. 
 
Sabda Rasulullah saw, 
"Apabila seseorang itu berkahwin, sempurnalah separuh agamanya, 
tinggal lagi separuh untuk disempurnakannya" . 
 
 
Semoga perkahwinan yang dibina adalah semata-mata kerana ALLAH, 
dgn tujuan untuk membina rumahtangga muslim, melahirkan keturunan 
soleh dan solehah, keluarga yang sanggup memikul amanah & dapat 
melaksanakan segala hukum dan perintah ALLAH swt. Semoga dengan 
perkahwinan itu juga akan dapat menjaga pandangannya, kehormatan 
dirinya serta hati dan juga perasaannya supaya sentiasa tunduk dan takut 
pada ALLAH swt, di samping dapat beribadat dan bertaqwa kepada ALLAH SWT. 
Oleh itu, usahlah bercinta sekadar untuk bersuka-suka. Lebih buruk 
lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sekadar 
untuk bersuka-suka. Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat 
dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan 
syaitan. Jika tidak ada niat untuk berkahwin, cinta sudah pasti 
bukan kerana ALLAH. Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yang akan 
membawa kemusnahan pada sebelah pihak atau kedua-duanya sekali. 
Cinta jenis ini seburuk namanya - Cinta Monyet! 
 
Hendaklah dipastikan semasa menjalin hubungan cinta tidak ada 
hukum ALLAH yang dilanggar. 
 
Antaranya, tidak ada pergaulan bebas, tidak ada pendedahan aurat, 
tidak ada pengabaian perkara asas seperti meninggalkan sembahyang, 
puasa dan lain-lain. 
 
Hubungan cinta jangan sampai terjerumus dalam perkara yang 
melalaikan dan merugikan. 
 
Maka, remaja tidak seharusnya mengeluh, 
 
" Cinta apa namanya ini jika tiada dating, tiada perbualan telefon 
maraton..atau bahasa remajanya 'bergayut', tiada surat cinta, 
tiada sentuhan tangan, tanpa kerlingan dan senyuman? 
 
Yakinlah, tidak ada keindahan dengan melanggar peraturan Tuhan. 
Putus cinta dan kecewa bercinta yang begitu dominan dalam 
kehidupan remaja adalah disebabkan racun-racun cinta yang disangka 
baja ini. Justeru banyaklah cinta yang gagal disambung di alam perkahwinan dan
 lebih banyak yang putus tanpa sempat menempuh perkahwinan. Allah swt Maha 
Mengetahui dan Maha Menyayangi. Segala peraturanNya buat dengan rasa cinta
 terhadap hambaNYA. 
 
Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua itu. Dan cinta itu pasti 
akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk bercinta lagi dengan 
seribu keindahannya. Bahkan jika diizinkan oleh takdirNya, cinta 
itu akan terus bersambung ke alam akhirat. Suami yang soleh dan 
isteri yang solehah akan bercinta lagi di syurga tempat pertama 
yang melahirkan cinta! 
 
 
Ketika itulah FITRAH akan menjadi anugerah
 

0 comments: