Wednesday, December 4, 2013

Seikhlas kasih sayang yang abadi!


Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda  daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket  seluar ayah. Petang itu, pulang saja dari sekolah – ayah memanggil  kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku 
menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.
 
"Siapa ambil  duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. Aku langsung tidak berdaya  menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu, cuma tunduk  memandang lantai.
 
"Baik, kalau tak mengaku, dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang  aku. Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah  tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!" Belum sempat adik menarik  nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti  menghentam tubuh adik. Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit  menahan sakit, setitis pun air mata adik tak tumpah.
 
Setelah puas  melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut: "Kamu sudah mula belajar  mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah  di luar kelak?"
 
Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik  cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan  yang mencucuk-cucuk. Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati,  kesan dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup  mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata, "Jangan menangis kak,  semuanya dah berlalu!"
 
 
Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu  membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran  belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan
menyambung  pelajaran ke peringkat pra-universiti. Malam itu ayah duduk di bawah  cahaya lampu minyak tanah bersama ibu diruang tamu. Aku terdengar ayah  berkata, "Zah,kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga  sekali!"
 
 
"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak.  "Di mana kita nak cari duit membiayai mereka?"
Ketika itulah adik  keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. "Ayah, saya tak mahu  ke sekolah lagi!"
 
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik  dalam-dalam.Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti  biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
 
"Kenapa  kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu,  ayah akan lakukan!"
 
"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik  tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
 
"Kakak  perempuan...biarlah kakak yang berhenti."Tiada siapa yang menyangka,  dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai  baju lusuh yang dia
ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat  sehelai kertas yang tercatat.....
"Kak...untuk dapat peluang ke  universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat  akak."
 
Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas  dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya  memujuk ayah. Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"
 
"Pemuda kampung?"  bisikku. "Siapa?"Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak  adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. 
 
"Kenapa  sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!" Sambil tersenyum dia  menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata  kalau mereka tahu saya adik kakak?"
 
Jantungku terasa berhenti  berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air  jernih mengalir di pipi.Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen  pada pakaian adik.
 
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata."
Dari kocek seluarnya, adik  keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku  sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli  satu untuk akak."
 
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul  adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat  ditahan-tahan.
 
Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara  menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti  selalu. "Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya  balik."
 
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."
 
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik.  Kami berdakapan. "Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada  tangannya.
 
"Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak,  kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang  masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya  untuk bekerja keras."Apalagi...aku menangis seperti  selalu.
 
Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang  usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
 
"Kalau adik  terima jawatan tu, apa kata orang lain?"kata adik. "Adik takde pelajaran.  Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."
 
"Adik tak ke  sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk
 
"Kenapa sebut kisah lama,  kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.
Adik  terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada  majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis  bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?"Spontan adik  menjawab, "Selain emak, kakak saya...."katanya lantas menceritakan suatu  kisah yang langsung tidak ku
ingati.
 
"Semasa sama-sama bersekolah  rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut  saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka  kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut.  Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan 
calar-balar."
 
"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya  akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan  menjaganya sampai bila-bila."
 
Sebaik adik tamat bercerita, aku  meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan  diserang histeria.
 
Jika manusia berkasih sayang kerana allah mungkin lebih
hebat dan menarik!!!
ia bermula dari islam dan iman!!!
 

 
-Copy dari seorg sahabat-
 

0 comments: