Thursday, June 21, 2012

Rancangan Pembelajaran Harian(RPH)

sedikit ilmu yang boleh dikongsikan untuk semua guru-guru...ini ialah format RPH yang disarankan kepada semua guru...format yang diberi hasil daripada kursus baru-baru ini.

Tajuk : Perwakilan Data

Bidang: Graf Palang

Standard Pembelajaran: Murid berupaya untuk membina graf palang berdasarkan maklumat yang diberi.

Objektif pembelajaran: Murid dapat membina graf palang dengan tepat berdasarkan maklumat yang diberi.

KELAS / MASA

MATA PELAJARAN

AKTIVITI

IMPAK

4 MUTIARA

8.15 – 9.15 PAGI

MATEMATIK

Pembelajaran Berasaskan Projek

1.Fasa Persediaan ( Tinjauan berstruktur,

penyoalan)

Permainan Explorace

- Murid menjalankan aktiviti permainan dengan

panduan guru.

2. Fasa Imaginasi ( Meneroka, meramal)

- Murid berkumpul dalam kategori permainan

Explorace yang telah dijalankan.

- Bersoal jawab dengan murid untuk

mendapatkan maklumat dan menjana minda.

3. Fasa Perkembangan (Meneroka, Mencari

Maklumat, Membuat prototaip)

- Aktiviti kumpulan

- Murid dibahagikan kepada empat kumpulan

mengikut kategori. Murid melengkapkan

jadual berdasarkan maklumat yang dikumpul.

- Membuat prototaip Graf

- Membina graf

4. Fasa Tindakan (Menganalisis maklumat,

Merumus, Melapor, Mentaksir, Menguji

prototaip).

- Pembentangan hasil projek, yang

mengandungi maklumat paksi mencancang

dan mengufuk.

- Soal jawab mengenai graf yang dibina.

- Menilai hasil kerja murid.

- Guru membuat rumusan .

- Murid membuat latihan pengukuhan

5. Penutup

- Pamer hasil projek terbaik

- Guru memberi penghargaan dan ganjaran.

Memberi peneguhan dan nilai murni

1. Refleksi

32/38 orang murid

Dapat menjawab sekurang-kurangnya 10 daripada 15 soalan yang diberi.

6/38 orang hanya menjawab 7 soalan aras mudah.

6 orang murid diberi bimbingan dan pemulihan di sesi seterusnya.

2. Bahan Bantu Balajar (BBB)

- kad gambar

- kad manila

- kertas warna

- lembaran kerja

3. Nilai murni

- bekerjasama

- menghargai

FASA

CADANGAN AKTIVITI

CADANGAN KOMUNIKASI

1. Persediaan

Pemerhatian dan Analisis: Tinjauan berfokus/ berstruktur penyoalan.

Permainan ’Explorace Race’.

Guru mengedarkan kad gambar di dalam bekas. Setiap murid mengambil sekeping kad gambar.

Guru melekatkan kategori gambar di empat sudut kelas. Murid bergerak mengikut kategori kad gambar masing-masing.

Memberitahu murid bahawa setiap data yang dikumpul boleh ditunjukkan dalam bentuk yang lebih mudah untuk difahami.

Meminta murid membuka kad gambar secara serentak.

Meminta murid berkumpul mengikut kategori masing-masing.

2. Imaginasi

Penjanaan Idea

Sintesis Idea:

Meneroka

Merancang

Meramal

Membimbing murid beratur mengikut kategori masing-masing.

Mencungkil pendapat murid cara menentukan kumpulan yang ramai atau sedikit tanpa mengira.

Meminta murid menyatakan bilangan ahli bagi setiap kategori.

Meminta murid menyatakan bilangan kumpulan, bilangan ahli dalam kumpulan.

Bagaimanakah kamu menentukan bilangan ahli paling ramai dan sedikit?

3. Perkembangan

Meneroka

Mencari maklumat

Membuat prototaip

Murid diagihkan kepada 4 kumpulan. Memberitahu murid bahawa mereka akan dibimbing untuk membina satu projek iaitu membuat graf palang mencancang.

Kumpulan Gemilang – Haiwan kesayangan

Kumpulan Cemerlang – Rancangan TV Kegemaran

Kumpulan Bijak – Makanan Kegemaran

Kumpulan Pintar – Warna Kegemaran

Guru mengedarkan jadual untuk dilengkapkan oleh setiap kumpulan. Setiap kumpulan mendapat maklumat yang berbeza.

Murid melakar lakaran idea untuk projek dan menunjukkan kepada guru. Guru akan memberi cadangan untuk penambahbaikan.

Murid dibimbing membina prototaip masing-masing.

Guru mengingatkan murid tentang kekemasan dan ketelitian semasa membuat graf palang.

Guru memaklumkan kepada murid bahawa mereka akan membuat satu projek graf palang mencancang.

Guru meminta murid melengkapkan jadual.

Guru memberi pandangan dan pendapat terhadap lakaran yang ditunjukkan.

4. Tindakan

Pelaksanaan Amalan Berterusan:

Menganalisis maklumat.

Mentaksir

Menguji prototaip

Melapor

Dokumentasi

Merumus

Meminta murid membuat pembentangan hasil projek yang mereka bina.

Pembentangan kumpulan mengandungi maklumat yang mewakili paksi mencancang dan mengufuk.

Murid membaca data daripada projek yang dibina.

Menguji prototaip yang dibina dengan memeriksa hasil projek.

Menilai hasil kerja murid berdasarkan ketepatan, kekemasan dan kerjasama.

Guru membuat rumusan daripada hasil yang diterima. Menampalkan hasil prototaip pada sudut pameran di belakang kelas.

Guru bertindak sebagai fasilitator semasa sesi pembentangan.

Guru bersoal jawab mengenai graf palang yang telah dibina oleh kumpulan.

Berapakah bilangan murid yang suka kucing?

Mengapakah ikan merupakan haiwan yang paling disayangi?

Guru memeriksa tentang ketepatan dan kekemasan hasil projek murid.

Guru meminta pandangan murid tentang hasil projek.

Guru menegaskan bahawa data boleh diwakili dalam bentuk graf palang supaya lebih mudah ditafsir. Graf palang yang kemas dan tepat memudahkan tafsiran data.

5. Penutup

Guru memberi pujian dan penghargaan kepada semua murid atas kerjasama yang diberikan semasa menjalankan aktiviti.

Memberi hadiah kepada kumpulan yang menghasilkan projek yang paling tepat dan kemas.

Pentaksiran

Pembentangan murid berkaitan projek yang dibina dan respon murid terhadap soalan yang diutarakan oleh guru dan murid.

Nilai dan Sikap

Kerjasama, tolong menolong, menganalisa, ketepatan, kekemasan.

Monday, June 4, 2012

SAHABAT

Assalamualaikum..

“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)


Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda,

“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.” (Hadis riwayat Muslim)

“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.” (Hadis riwayat Muslim)

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”


Banyak sekali hadis tentang kawan/sahabat ini. Ada pula pepatah Melayu mengatakan, “Berkawan biar seribu, berkasih biar satu.” Saya lebih selesa dengan berkawan biar berpada jumlahnya, lihat kualiti, bukan kuantiti. Berkasih jangan cuma satu sahaja, kalau mampu, biar ramai. Kasihkan Allah, Rasul-Nya, pasangan (suami/isteri) , anak-anak, keluarga, kaum kerabat, jiran dan juga kawan atau sahabat. Baru betul!^__^

Allah SWT menciptakan makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (surah al-Hujurat [049] ayat 13)


Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititik-beratkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.

Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.” (Surah at-Taubah, ayat 119)


Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadis Rasululah SAW yang bermaksud:

“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” (Hadis riwayat Abu Daud).


Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”


Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Nasihat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya:

“Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

1 - Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.


2 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungka n (menyebutnya) .


3 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukkan dirimu ia suka menutupinya.


4 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.


5 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.


Dalam memilih sahabat hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.


Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita. Setelah kita dewasa, kita juga perlu berhati-hati memilih kawan kerana kita tidak mahu kawan-kawan yang melalaikan kita kepada Maha Pencipta. Kawan yang baik membantu kita ke arah pencapaian matlamat, iaitu kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Kawan yang tidak baik hanya membantutkan usaha kita ke arah itu.

Dalam kitab al-Hikam ada menyebut, “Jangan berkawan dengan seseorang yang tidak membangkitkan semangat taat kepada Allah, amal kelakuannya dan tidak memimpin engkau ke jalan Allah.” Dalam satu hadis yang bermaksud, “Seseorang akan mengikuti pendirian (kelakuan) temannya, kerana itu tiap orang harus memilih siapakah yang harus didekati sebagai kawan (teman).”

Sufyan Astsaury berkata, “Siapa yang bergaul dengan orang banyak harus mengikuti mereka, dan siapa mengikuti mereka harus bermuka-muka pada mereka, dan siapa yang bermuka-muka kepada mereka, maka binasalah seperti mereka pula.”

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti di bawah:

1. Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.


2. Sahabat yang hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.


3. Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.


4. Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.

Ali bin Abi Thalib r.a. berkata,

“Sejahat-jahat teman ialah yang memaksa engkau bermuka-muka dan memaksa engkau meminta maaf atau selalu mencari alasan.”

Dan sekiranya engkau berkawan seorang bodoh yang tidak menurutkan hawa nafsunya, lebih baik daripada berkawan dengan orang alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya. Maka ilmu apakah yang dapat digelarkan bagi seorang alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya itu, sebaliknya kebodohan apakah yang dapat disebutkan bagi seorang yang sudah dapat mengekang (menahan) hawa nafsunya.

Bagaimana akan dinamakan bodoh, seorang yang telah dapat menahan dan mengekang hawa nafsunya, sehingga membuktikan bahawa semua amal perbuatannya hanya semata-mata untuk keredhaan Allah SWT dan bersih dari dorongan hawa nafsu. Sebaliknya, apakah erti suatu ilmu yang tidak dapat menahan atau memimpin hawa nafsu dari sifat kebinatangan dan kejahatannya.


Dalam sebuah hadis ada keterangan : “Seorang itu akan mengikuti pendirian sahabat karibnya, kerana itu hendaknya seseorang itu memperhatikan, siapakah yang harus dijadikan kawan.”

Menurut ahli syair pula : “Sesiapa bergaul dengan orang-orang yang baik, akan hidup mulia. Dan yang bergaul dengan orang-orang rendah akhlaknya, pasti tidak mulia.”

Bersahabat dengan yang lebih rendah budi dan imannya sangat berbahaya, sebab persahabatan itu saling pengaruh-mempengaruhi, percaya-mempercayai sehingga dengan demikian sukar sekali untuk dapat melihat datu memperbaiki kesalahan sahabat yang kita sayangi, bahkan kesetiaan sahabat akan membela kita dalam kesalahan dosa kekeliruan itu, yang dengan itu kita pasti akan binasa kerananya.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Apa pun berkawanlah kerana Allah SWT untuk mencari redha-Nya.

Sumber daripada : Taman-Taman Syurga

"Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong." (An-Nahl ayat 105)

"Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."(HR: Az-Zahabi dlm Al-Kabair.)

-Sekian, selamat bersahabat-

Friday, May 25, 2012

.: Berhemah Dalam Menegur :.

Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.

Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ‘‘Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.” Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.

Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar.

Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”

Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,

‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.”

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah, pertama, tidak merendahkan ego orang yang ditegur, kedua mencari waktu yang tepat dan ketiga memahami kedudukan orang yang ditegur.

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,

‘‘Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”

Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.

Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;

‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.

Rasulullah s.a.w bersabda,

‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’’.

Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.

Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.

Dalam buku Ihya ‘Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan kesalahan.

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) – kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.

Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.

Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat.”