Thursday, May 10, 2012

Said bin Zubair dipancung kerana menegur pemimpin zalim

Sejarah memaparkan pembuktian bagaimana tingginya nilai keilmuan yang dipegang oleh ulama walaupun terpaksa berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Said bin Zubair adalah contoh terbaik untuk dijadikan teladan kepada semua intelektual dalam menegakkan kebenaran. Beliau seorang intelektual agama daripada kalangan tabi’in. Bapa beliau ialah Zubair bin Awwam ra. Oleh kerana beliau selalu mengeluarkan pandangan yang bercanggah dengan pihak pemerintah, maka beliau telah ditangkap untuk menghadap Gabenor Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi.

Banyak persoalan yang ditanya oleh Hajjaj kepada Said. Namun Said berjaya menjawabnya dengan tenang. Hajjaj menawarkan harta kepada Said, tetapi Said menolaknya dengan berkata: “Wahai Hajjaj! Apakah faedahnya harta yang demikian itu untuk menghadapi bencana akhirat nanti? Dengan apa pun caranya engkau menyeksa saya, nanti di akhirat engkau akan terima balasannya dengan lebih sakit dan lebih pedih lagi.” Hajjaj berkata lagi: “Apakah engkau tidak suka memohon keampunan saya? Saya sedia untuk memaafkanmu”. Said dengan tegas berkata: “Lebih baik saya memohon keampunan Allah SWT saja”.

Hajjaj begitu marah dan memerintahkan kepada pegawainya supaya membunuh Said. Said tersenyum mendengarnya. Maka Hajjaj berkata: “Mengapa kamu tersenyum?”. Jawab Said: “Saya hairan, mengapa engkau berani melawan Allah SWt.” Said segera ditelentangkan dan wajahnya menghadap ke langit. Mulut Said sentiasa terkumat-kamit menyebut nama Allah SWT. Melihat keadaan itu, Hajjaj memerintahkan supaya Said dibalikkan menghadap tanah.

Said segera membaca surah al-Anam ayat 79 yang bermaksud: “Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi dengan condong kepada agama yang benar dan aku bukanlah termasuk orang yang mempersekutukan Allah”.

Setelah membaca ayat iu, Said memalingkan wajahnya ke arah kiblat. Melihat keadaan itu bertambah kuatlah kebencian Hajjaj dan segera memerintahkan pengawal supaya memalingkan wajahnya ke arah lain. Begitulah seterusnya sehingga leher Said dipenggal.

Sebelum dipenggal, Said sempat berdoa: “Ya Allah! Semoga saya ini adalah orang terakhir yang dibunuh oleh Hajjaj. Selepas hari ini, janganlah dibuka lagi kesempatan bagi Hajjaj untuk berbuat begini terhadap hamba-Mu”. Mendengar doa Said itu, Hajjaj hanya tertawa. Selepas satu minggu kematian Said, Hajjaj ditimpa penyakit gila dan dia mati dalam keadaan yang mengerikan.

Sebagai rumusannya, ambillah semangat Said untuk memartabatkan kembali dunia keintelektualan supaya nilai intelek itu dianggap seperti mutiara di lautan bukannya seperti batu-batu pasir yang bertaburan di serata tempat. Semangat ‘amanah terhadap ilmu’ harus terus disuburi di setiap dada golongan intelektual agar nilai ilmu itu tidak terus dipertikai oleh masyarakat sekeliling.

0 comments: