Thursday, May 10, 2012

Layanan Islam menarik hati Yahudi Khaibar

KEJAYAAN umat Islam menawan Kota Khaibar menyebabkan kaum Yahudi melarikan diri dengan meninggalkan harta-benda, tanah-tanah ladang dan kebun mereka.

Harta lain yang ditinggalkan termasuk hamba-hamba, emas, perak dan pelbagai jenis peralatan senjata yang kesemua ini dijadikan ghanimah untuk dibahagikan kepada para tentera Islam.

Rasulullah kemudiannya telah membahagikan harta rampasan perang tersebut dengan penuh bijaksana dan adil mengikut syariat yang ditetapkan.

Pembahagian itu dilakukan dengan membezakan antara harta yang boleh pindah dengan yang tidak boleh pindah.

Harta yang boleh pindah itu termasuklah barang-barang perhiasan dan berharga seperti emas dan perak dibahagikan kepada bala tentera yang tidak berkuda satu bahagian dan kepada tentera berkuda diberikan dua bahagian.

Manakala harta yang tidak boleh pindah, terutamanya tanah dan kebun dibahagikan dengan dua cara. Yang pertama diserahkan semula kepada tuan tanah jika masih ada, dengan separuh hasil daripada tanah dan kebun tersebut akan diserahkan kepada pihak Islam.

Ini kerana tuan tanah itu lebih berpengalaman dalam mengendalikannya dan pihak Islam sendiri tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk menguruskan tanah tersebut.

Kedua, mana-mana tanah yang tidak lagi bertuan akan diserahkan kepada pihak Islam sebagai pemilik baru.

Pun begitu, ada satu kisah menarik untuk pengajaran bersama.

Sedang baginda membahagi-bahagikan harta-harta tersebut, seorang tentera Islam dari keturunan Arab Badwi terkejut apabila diserahkan sebahagian harta rampasan itu kepadanya.

Lalu ditanya: “Apakah ini?” Lalu dijawab oleh para sahabat baginda: “Ini ialah bahagian untukmu yang diberikan oleh Rasulullah, maka terimalah dengan gembira.”

Lantas Arab Badwi itu terus mencari Rasulullah dan berkata kepada baginda sambil menunjuk lehernya: “Aku mengikutmu (ke Perang Khaibar) bukan kerana mahukan harta-harta ini. Tetapi kerana aku mahu supaya ada anak panah daripada pihak musuh yang mengenai bahagianku ini (mati syahid).”

Lalu Rasulullah menjawab: “Jika kamu benar terhadap Allah nescaya Allah menunaikan janji yang benar kepada kamu.”

Dengan hati yang tulus ikhlas, Arab Badwi itu benar-benar tidak mengambil walau sedikit pun harta rampasan perang tersebut.

Selepas itu dia pergi untuk melaksanakan pelbagai tanggungjawab yang lain.

Namun, tiba-tiba sebatang anak panah dibidik dengan laju dan terus tertancap di leher Arab Badwi itu ekoran masih ada lagi ada serangan pihak musuh.

Sebagaimana yang dipinta, ajalnya sampai dek serangan anak panah itu.

Lalu jasadnya yang mati syahid itu dibawa kepada Rasulullah, sambil menitiskan air mata baginda pun berdoa: “Ya Allah, Ya Tuhanku! Inilah hamba yang telah berhijrah kerana jalan-Mu dan dia telah dibunuh dan syahid di jalan-Mu jua, aku yang menjadi saksi kepada kematiannya ini.”

Setelah selesai harta-harta rampasan itu dibahagikan kepada tentera Islam termasuk juga kepada waris-waris tentera Islam yang mati syahid dalam perang itu, sudah tiba masanya baginda Rasulullah dan para pengikut yang lain kembali semula ke Madinah.

Sungguh berbeza suasananya kali ini. Jika dahulu tentera Islam datang menyerang dan mereka disambut dengan pertahanan yang kuat dan serangan yang bertubi-tubi daripada penduduk Yahudi.

Tetapi kini, suasana sedih bagaikan dua saudara rapat yang terpaksa berpisah.

Ini kerana walaupun ramai penduduk Yahudi itu melarikan diri sehelai sepinggang meninggalkan Khaibar namun ramai juga yang dibenarkan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Mereka perlu mengusahakan ladang dan kebun kurma dengan bersyarat. Hasil yang diperoleh akan dibahagi dua, iaitu sebahagian milik mereka dan sebahagian lagi diserahkan kepada pihak Islam sebagai satu bentuk ufti.

Rata-rata penduduk Yahudi Khaibar itu semakin dapat menerima kehadiran dan kepimpinan Rasulullah dan berjanji untuk taat setia terhadap baginda.

Walaupun mereka mempunyai pemimpin di kalangan mereka sendiri namun Rasulullah tidak lagi dianggap musuh.

Malah mereka sangat terharu apabila tentera-tentera Islam turut membantu membaiki semula mana-mana bahagian kerosakan yang berlaku akibat pertempuran.

Jika dahulu mereka saling berbunuh-bunuhan tetapi yang pasti kini, pihak Yahudi dan Islam saling bantu membantu. Maka terjalinlah satu hubungan baik antara pihak Islam dan Yahudi di Khaibar.

Hubungan baik yang tidak memungkinkan lagi pihak Yahudi untuk melanggar sebarang perjanjian damai.

Ini kerana mereka tahu andai dilanggar maka buruk padahnya.

0 comments: