Monday, June 4, 2012

SAHABAT

Assalamualaikum..

“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)


Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda,

“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.” (Hadis riwayat Muslim)

“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya, merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.” (Hadis riwayat Muslim)

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”


Banyak sekali hadis tentang kawan/sahabat ini. Ada pula pepatah Melayu mengatakan, “Berkawan biar seribu, berkasih biar satu.” Saya lebih selesa dengan berkawan biar berpada jumlahnya, lihat kualiti, bukan kuantiti. Berkasih jangan cuma satu sahaja, kalau mampu, biar ramai. Kasihkan Allah, Rasul-Nya, pasangan (suami/isteri) , anak-anak, keluarga, kaum kerabat, jiran dan juga kawan atau sahabat. Baru betul!^__^

Allah SWT menciptakan makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (surah al-Hujurat [049] ayat 13)


Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititik-beratkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.

Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.” (Surah at-Taubah, ayat 119)


Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadis Rasululah SAW yang bermaksud:

“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” (Hadis riwayat Abu Daud).


Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”


Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Nasihat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya:

“Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

1 - Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.


2 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungka n (menyebutnya) .


3 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukkan dirimu ia suka menutupinya.


4 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.


5 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.


Dalam memilih sahabat hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.


Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita. Setelah kita dewasa, kita juga perlu berhati-hati memilih kawan kerana kita tidak mahu kawan-kawan yang melalaikan kita kepada Maha Pencipta. Kawan yang baik membantu kita ke arah pencapaian matlamat, iaitu kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Kawan yang tidak baik hanya membantutkan usaha kita ke arah itu.

Dalam kitab al-Hikam ada menyebut, “Jangan berkawan dengan seseorang yang tidak membangkitkan semangat taat kepada Allah, amal kelakuannya dan tidak memimpin engkau ke jalan Allah.” Dalam satu hadis yang bermaksud, “Seseorang akan mengikuti pendirian (kelakuan) temannya, kerana itu tiap orang harus memilih siapakah yang harus didekati sebagai kawan (teman).”

Sufyan Astsaury berkata, “Siapa yang bergaul dengan orang banyak harus mengikuti mereka, dan siapa mengikuti mereka harus bermuka-muka pada mereka, dan siapa yang bermuka-muka kepada mereka, maka binasalah seperti mereka pula.”

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti di bawah:

1. Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.


2. Sahabat yang hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.


3. Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.


4. Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.

Ali bin Abi Thalib r.a. berkata,

“Sejahat-jahat teman ialah yang memaksa engkau bermuka-muka dan memaksa engkau meminta maaf atau selalu mencari alasan.”

Dan sekiranya engkau berkawan seorang bodoh yang tidak menurutkan hawa nafsunya, lebih baik daripada berkawan dengan orang alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya. Maka ilmu apakah yang dapat digelarkan bagi seorang alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya itu, sebaliknya kebodohan apakah yang dapat disebutkan bagi seorang yang sudah dapat mengekang (menahan) hawa nafsunya.

Bagaimana akan dinamakan bodoh, seorang yang telah dapat menahan dan mengekang hawa nafsunya, sehingga membuktikan bahawa semua amal perbuatannya hanya semata-mata untuk keredhaan Allah SWT dan bersih dari dorongan hawa nafsu. Sebaliknya, apakah erti suatu ilmu yang tidak dapat menahan atau memimpin hawa nafsu dari sifat kebinatangan dan kejahatannya.


Dalam sebuah hadis ada keterangan : “Seorang itu akan mengikuti pendirian sahabat karibnya, kerana itu hendaknya seseorang itu memperhatikan, siapakah yang harus dijadikan kawan.”

Menurut ahli syair pula : “Sesiapa bergaul dengan orang-orang yang baik, akan hidup mulia. Dan yang bergaul dengan orang-orang rendah akhlaknya, pasti tidak mulia.”

Bersahabat dengan yang lebih rendah budi dan imannya sangat berbahaya, sebab persahabatan itu saling pengaruh-mempengaruhi, percaya-mempercayai sehingga dengan demikian sukar sekali untuk dapat melihat datu memperbaiki kesalahan sahabat yang kita sayangi, bahkan kesetiaan sahabat akan membela kita dalam kesalahan dosa kekeliruan itu, yang dengan itu kita pasti akan binasa kerananya.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Apa pun berkawanlah kerana Allah SWT untuk mencari redha-Nya.

Sumber daripada : Taman-Taman Syurga

"Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong." (An-Nahl ayat 105)

"Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."(HR: Az-Zahabi dlm Al-Kabair.)

-Sekian, selamat bersahabat-

Friday, May 25, 2012

.: Berhemah Dalam Menegur :.

Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.

Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ‘‘Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.” Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.

Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar.

Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”

Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,

‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.”

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah, pertama, tidak merendahkan ego orang yang ditegur, kedua mencari waktu yang tepat dan ketiga memahami kedudukan orang yang ditegur.

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,

‘‘Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”

Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.

Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;

‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.

Rasulullah s.a.w bersabda,

‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’’.

Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.

Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.

Dalam buku Ihya ‘Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan kesalahan.

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) – kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.

Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.

Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat.”

Thursday, May 10, 2012

Layanan Islam menarik hati Yahudi Khaibar

KEJAYAAN umat Islam menawan Kota Khaibar menyebabkan kaum Yahudi melarikan diri dengan meninggalkan harta-benda, tanah-tanah ladang dan kebun mereka.

Harta lain yang ditinggalkan termasuk hamba-hamba, emas, perak dan pelbagai jenis peralatan senjata yang kesemua ini dijadikan ghanimah untuk dibahagikan kepada para tentera Islam.

Rasulullah kemudiannya telah membahagikan harta rampasan perang tersebut dengan penuh bijaksana dan adil mengikut syariat yang ditetapkan.

Pembahagian itu dilakukan dengan membezakan antara harta yang boleh pindah dengan yang tidak boleh pindah.

Harta yang boleh pindah itu termasuklah barang-barang perhiasan dan berharga seperti emas dan perak dibahagikan kepada bala tentera yang tidak berkuda satu bahagian dan kepada tentera berkuda diberikan dua bahagian.

Manakala harta yang tidak boleh pindah, terutamanya tanah dan kebun dibahagikan dengan dua cara. Yang pertama diserahkan semula kepada tuan tanah jika masih ada, dengan separuh hasil daripada tanah dan kebun tersebut akan diserahkan kepada pihak Islam.

Ini kerana tuan tanah itu lebih berpengalaman dalam mengendalikannya dan pihak Islam sendiri tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk menguruskan tanah tersebut.

Kedua, mana-mana tanah yang tidak lagi bertuan akan diserahkan kepada pihak Islam sebagai pemilik baru.

Pun begitu, ada satu kisah menarik untuk pengajaran bersama.

Sedang baginda membahagi-bahagikan harta-harta tersebut, seorang tentera Islam dari keturunan Arab Badwi terkejut apabila diserahkan sebahagian harta rampasan itu kepadanya.

Lalu ditanya: “Apakah ini?” Lalu dijawab oleh para sahabat baginda: “Ini ialah bahagian untukmu yang diberikan oleh Rasulullah, maka terimalah dengan gembira.”

Lantas Arab Badwi itu terus mencari Rasulullah dan berkata kepada baginda sambil menunjuk lehernya: “Aku mengikutmu (ke Perang Khaibar) bukan kerana mahukan harta-harta ini. Tetapi kerana aku mahu supaya ada anak panah daripada pihak musuh yang mengenai bahagianku ini (mati syahid).”

Lalu Rasulullah menjawab: “Jika kamu benar terhadap Allah nescaya Allah menunaikan janji yang benar kepada kamu.”

Dengan hati yang tulus ikhlas, Arab Badwi itu benar-benar tidak mengambil walau sedikit pun harta rampasan perang tersebut.

Selepas itu dia pergi untuk melaksanakan pelbagai tanggungjawab yang lain.

Namun, tiba-tiba sebatang anak panah dibidik dengan laju dan terus tertancap di leher Arab Badwi itu ekoran masih ada lagi ada serangan pihak musuh.

Sebagaimana yang dipinta, ajalnya sampai dek serangan anak panah itu.

Lalu jasadnya yang mati syahid itu dibawa kepada Rasulullah, sambil menitiskan air mata baginda pun berdoa: “Ya Allah, Ya Tuhanku! Inilah hamba yang telah berhijrah kerana jalan-Mu dan dia telah dibunuh dan syahid di jalan-Mu jua, aku yang menjadi saksi kepada kematiannya ini.”

Setelah selesai harta-harta rampasan itu dibahagikan kepada tentera Islam termasuk juga kepada waris-waris tentera Islam yang mati syahid dalam perang itu, sudah tiba masanya baginda Rasulullah dan para pengikut yang lain kembali semula ke Madinah.

Sungguh berbeza suasananya kali ini. Jika dahulu tentera Islam datang menyerang dan mereka disambut dengan pertahanan yang kuat dan serangan yang bertubi-tubi daripada penduduk Yahudi.

Tetapi kini, suasana sedih bagaikan dua saudara rapat yang terpaksa berpisah.

Ini kerana walaupun ramai penduduk Yahudi itu melarikan diri sehelai sepinggang meninggalkan Khaibar namun ramai juga yang dibenarkan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Mereka perlu mengusahakan ladang dan kebun kurma dengan bersyarat. Hasil yang diperoleh akan dibahagi dua, iaitu sebahagian milik mereka dan sebahagian lagi diserahkan kepada pihak Islam sebagai satu bentuk ufti.

Rata-rata penduduk Yahudi Khaibar itu semakin dapat menerima kehadiran dan kepimpinan Rasulullah dan berjanji untuk taat setia terhadap baginda.

Walaupun mereka mempunyai pemimpin di kalangan mereka sendiri namun Rasulullah tidak lagi dianggap musuh.

Malah mereka sangat terharu apabila tentera-tentera Islam turut membantu membaiki semula mana-mana bahagian kerosakan yang berlaku akibat pertempuran.

Jika dahulu mereka saling berbunuh-bunuhan tetapi yang pasti kini, pihak Yahudi dan Islam saling bantu membantu. Maka terjalinlah satu hubungan baik antara pihak Islam dan Yahudi di Khaibar.

Hubungan baik yang tidak memungkinkan lagi pihak Yahudi untuk melanggar sebarang perjanjian damai.

Ini kerana mereka tahu andai dilanggar maka buruk padahnya.

Said bin Zubair dipancung kerana menegur pemimpin zalim

Sejarah memaparkan pembuktian bagaimana tingginya nilai keilmuan yang dipegang oleh ulama walaupun terpaksa berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Said bin Zubair adalah contoh terbaik untuk dijadikan teladan kepada semua intelektual dalam menegakkan kebenaran. Beliau seorang intelektual agama daripada kalangan tabi’in. Bapa beliau ialah Zubair bin Awwam ra. Oleh kerana beliau selalu mengeluarkan pandangan yang bercanggah dengan pihak pemerintah, maka beliau telah ditangkap untuk menghadap Gabenor Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi.

Banyak persoalan yang ditanya oleh Hajjaj kepada Said. Namun Said berjaya menjawabnya dengan tenang. Hajjaj menawarkan harta kepada Said, tetapi Said menolaknya dengan berkata: “Wahai Hajjaj! Apakah faedahnya harta yang demikian itu untuk menghadapi bencana akhirat nanti? Dengan apa pun caranya engkau menyeksa saya, nanti di akhirat engkau akan terima balasannya dengan lebih sakit dan lebih pedih lagi.” Hajjaj berkata lagi: “Apakah engkau tidak suka memohon keampunan saya? Saya sedia untuk memaafkanmu”. Said dengan tegas berkata: “Lebih baik saya memohon keampunan Allah SWT saja”.

Hajjaj begitu marah dan memerintahkan kepada pegawainya supaya membunuh Said. Said tersenyum mendengarnya. Maka Hajjaj berkata: “Mengapa kamu tersenyum?”. Jawab Said: “Saya hairan, mengapa engkau berani melawan Allah SWt.” Said segera ditelentangkan dan wajahnya menghadap ke langit. Mulut Said sentiasa terkumat-kamit menyebut nama Allah SWT. Melihat keadaan itu, Hajjaj memerintahkan supaya Said dibalikkan menghadap tanah.

Said segera membaca surah al-Anam ayat 79 yang bermaksud: “Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi dengan condong kepada agama yang benar dan aku bukanlah termasuk orang yang mempersekutukan Allah”.

Setelah membaca ayat iu, Said memalingkan wajahnya ke arah kiblat. Melihat keadaan itu bertambah kuatlah kebencian Hajjaj dan segera memerintahkan pengawal supaya memalingkan wajahnya ke arah lain. Begitulah seterusnya sehingga leher Said dipenggal.

Sebelum dipenggal, Said sempat berdoa: “Ya Allah! Semoga saya ini adalah orang terakhir yang dibunuh oleh Hajjaj. Selepas hari ini, janganlah dibuka lagi kesempatan bagi Hajjaj untuk berbuat begini terhadap hamba-Mu”. Mendengar doa Said itu, Hajjaj hanya tertawa. Selepas satu minggu kematian Said, Hajjaj ditimpa penyakit gila dan dia mati dalam keadaan yang mengerikan.

Sebagai rumusannya, ambillah semangat Said untuk memartabatkan kembali dunia keintelektualan supaya nilai intelek itu dianggap seperti mutiara di lautan bukannya seperti batu-batu pasir yang bertaburan di serata tempat. Semangat ‘amanah terhadap ilmu’ harus terus disuburi di setiap dada golongan intelektual agar nilai ilmu itu tidak terus dipertikai oleh masyarakat sekeliling.

Tuesday, May 8, 2012

doa sahabat nabi yang dimakbulkan

Ya Allah, jangan kembalikan aku ke keluargakau, dan limpahkanlah kepadaku kesyahidan.”

Doa itu keluar dari mulut `Amru bin Jumuh, ketika ia bersiap-siap mengenakan baju perang dan bermaksud berangkat bersama kaum Muslimin ke medan Uhud. Ini adalah kali pertama bagi `Amru terjun ke medan perang, karena dia kakinya pincang. Didalam Al-Quran disebutkan: “Tiada dosa atas orang-orang buta, atas orang-orang pincang dan atas orang sakit untuk tidak ikut berperang.” (QC. Al-Fath:17)

Karena kepincangannya itu maka `Amru tidak wajib ikut berperang, di samping keempat anaknya telah pergi ke medan perang. Tidak seorangpun menduga `Amru dengan keadaannya yang seperti itu akan memanggul senjata dan bergabung dengan kaum Muslimin lainnya untuk berperang.

Sebenarnya, kaumnya telah mencegah dia dengan mengatakan: “Sadarilah hai `Amru, bahwa engkau pincang. Tak usahlah ikut berperang bersama Nabi saw.”

Namun `Amru menjawab: “Mereka semua pergi ke surga, apakah aku harus duduk-duduk bersama kalian?”

Meski `Amru berkeras, kaumnya tetap mencegahnya pergi ke medan perang. Karena itu `Amru kemudian menghadap Rasulullah Saw dan berkata kepada beliau: “Wahai Rasulullah. Kaumku mencegahku pergi berperang bersama Tuan. Demi Allah. Aku ingin menginjak surga dengan kakiku yang pincang ini.”

“Engkau dimaafkan. Berperang tidak wajib atas dirimu.” Kata Nabi mengingatkan.

“Aku tahu itu, wahai Rasulullah. Tetapi aku ingin berangkat ke sana.” Kata `Amru tetap berkeras.

Melihat semangat yang begitu kuat, Rasulullah kemudian bersabda kepada kaum `Amru: “Biarlah dia pergi. Semoga Allah menganugerahkan kesyahidan kepadanya.”

Dengan terpincang-pincang `Amru akhirnya ikut juga berperang di barisan depan bersama seorang anaknya. Mereka berperang dengan gagah berani, seakan-akan berteriak: “Aku mendambakan surga. Aku mendambakan mati: sampai akhirnya ajal menemui mereka.

Setelah perang usai, kaum wanita yang ikut ke medan perang semuanya pulang. Di antara mereka adalah “Aisyah. Di tengah perjalanan pulang itu `Aisyah melihat Hindun, istri `Amru bin Jumuh sedang menuntun unta ke arah Madianh. `Aisyah bertanya: “bagaimana beritanya?”

“Baik-baik , Rasulullah selamat Musibah yang ada ringan-ringan saja. Sedang orang-orang kafir pulang dengan kemarahan, “jawab Hindun.

“Mayat siapakah di atas unta itu?”
“Saudaraku, anakku dan suamiku.”
“Akan dibawa ke mana?”
“Akan dikubur di Madinah.”

Setelah itu Hindun melanjutkan perjalanan sambil menuntun untanya ke arah Madinah. Namun untanya berjalan terseot-seot lalu merebah.

“Barangkali terlalu berat,” kata `Aisyah.
“Tidak. Unta ini kuat sekali. Mungkin ada sebab lain.” Jawab Hindun.

Ia kemudian memukul unta tersebut sampai berdiri dan berjalan kembali, namun binatang itu berjalan dengan cepat ke arah Uhud dan lagi-lagi merebah ketika di belokkan ke arah Madinah. Menyaksikan pemandangan aneh itu, Hindun kemudian menghadap kepada Rasulullah dan menyampaikan peristiwa yang dialaminya: “Hai Rasulullah. Jasad saudaraku, anakku dan suamiku akan kubawa dengan unta ini untuk dikuburkan di Madinah. Tapi binatang ini tak mahu berjalan bahkan berbalik ke Uhud dengan cepat.”

Rasulullah berkata kepada Hindun: “Sungguh unta ini sangat kuat. Apakah suamimu tidak berkata apa-apa ketika hendak ke Uhud?”

“Benar ya Rasulullah. Ketika hendak berangkat dia menghadap ke kiblat dan berdoa: “Ya Allah, janganlah Engkau kembalikan aku ke keluargaku dan limpahkanlah kepadaku kesyahidan.”

“Karena itulah unta ini tidak mahu berangkat ke Medinah. Allah SWT tidak mahu mengembalikan jasad ini ke Madinah” kata beliau lagi.

“Sesungguhnya diantara kamu sekalian ada orang-orang jika berdoa kepada Allah benar-benar dikabulkan. Diantara mereka itu adalah suamimu, `Amru bin Jumuh,” sambung Nabi.

Setelah itu Rasulullah memerintahkan agar ketiga jasad itu dikuburkan di Uhud. Selanjutnya beliau berkata kepada Hindun: “Mereka akan bertemu di surga. `Amru bin Jumuh, suamimu; Khulad, anakmu; dan Abdullah, saudaramu.”

“Ya Rasulullah. Doakan aku agar Allah mengumpulkan aku bersama mereka,: kata Hindun

Monday, April 30, 2012

artikel pilihan-mudahnya menjadi seorg suami

duk tengah baca artikel,tup..tup..terjumpa 1 artikel ni yg di tulis oleh ustaz ali irfan (brohamzah),..rasa tetarik untuk meneruskan bacaan.menarik untuk bakal-bakal raja sehari,artikel yang bertajuk mudahnya menjadi seorg suami.

Suatu petang yang hening lagi mendamaikan. Seorang abang dan adiknya berbual-bual panjang setelah begitu lama tidak bertemu. Maklumlah, kedua-duanya sibuk dengan pengajian masing-masing.

Dikesempatan ini mereka berbincang sesuatu yang bernada serius tetapi penuh dengan suasana harmoni.

"Abang rasakan, mudah sahaja untuk menjadi seorang suami," kata abangnya.

"Eh, kenapa abang cakap macam tu?," soal adiknya sedikit gusar.

"Mudahnya menjadi suami, jika kita buat persiapan dan persediaan," lanjut abangnya.

"Dan, yang menjadikan ia sesuatu yang sukar, payah dan membebankan apabila kita tidak bersedia dan bersiap dari segala perkara," tambah abangnya lagi.

"Ooo.. kalau kita bersedia memanglah abang, macam kita masuk exam la. Bagi saya bang, sebenarnya hendak melakukan persiapan dan persediaan itu yang susah. Ramai di kalangan kita hari ini melangkah ke alam rumah tangga tanpa persediaan dan persiapan yang rapi," adiknya berbual panjang mengulas seakan-akan berminat dengan tajuk yang diperbincangkan.

"Tapi, apa yang sebenarnya yang perlu kita persiapkan?," persoalan itu bermain-main di fikiran abangnya.

"Ha'a la, apa yang penting, segera dan utama?," tambah adiknya.

Saya yakin, setiap daripada kita mempunyai hasrat, keinginan dan berhajat untuk menjadi suami. Suami kepada seorang wanita dan gadis yang bergelar isteri.

Begitu juga bagi yang wanita – baik puteri-puteri manis, siswi-siswi dan nisa'-nisa' sekalian – menyimpan impian untuk memegang takhta sebagai seorang permaisuri di hati seorang insan yang bergelar lelaki. Ya, menjadi seorang isteri kepada seorang suami.

"Dan, kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui." [1]

Suami

Menjadi seorang suami adalah satu amanah, tanggungjawab dan bebanan yang sangat berat dan sangat-sangat penting. Saya teringat kata-kata seorang doktor perubatan dalam ceramahnya :

"Jatuh bangun sebuah keluarga, terletak sepenuhnya di atas pundak (bahu) seorang lelaki, suami dan ayah!." [2]

Apabila mendengar ungkapan ini, seram sejuk saya dibuatnya. Beratnya, menjadi seorang suami. Harus mengalas dan memikul amanah yang tersangat berat. Perlu mendidik, membimbing dan menunjuk ajar isterinya. Dan, sekiranya dizinkan Allah S.W.T suami juga akan menjadi ayah yang akan membesarkan, memberi nafkah dan memberikan pendidikan kepada anak-anaknya.

Sinisnya, ramai yang bersegera ingin menjadi suami dan ingin secepat yang mungkin untuk melangsungkan perkahwinannya, tetapi ramai yang tidak pernah terfikir untuk mempersiapkan diri untuk menjadi suami. Suami yang baik, terbaik dan bersiap sedia!

Saya tiada apa sangat yang ingin dikongsikan, cuma ingin mengajak sama-sama kita semak dan menilai apakah sebenarnya persiapan untuk menjadi seorang suami. Anda ingin menjadi suami atau tidak? Jika berhajat, ayuh sama-sama kita lihat dan semak diri kita. Bersedia atau belum?

3 Perkara Asas

Semasa bermusafir dengan murabbi saya, saya bertanyakan kepadanya apakah persediaan dan persiapan yang perlu kita lakukan sebelum melangkah ke alam perkahwinan? Beliau, memetik panduan yang diberikan oleh Hisyam al- Awadi bahawa kita perlu bersiapkan kepada 3 perkara asas sebelum mendirikan rumah tangga.[3]

01.Pertamanya, ialah mengenal dan mendalami ilmu Deen. Kita benar-benar mendalami aspek keagamaan kita meliputi semua aspek seperti keimanan, ketaqwaan, akhlak, muamalat dan perkara-perkara yang akan menjadikan kita sebagai seorang muslim muslimah yang sejati.

02.Keduanya, ialah mengenali dan mengetahui perbezaan antara lelaki dan perempuan.Mengetahui dengan jelas, siapakah sebenar lelaki dan siapakah sebenarnya perempuan. Memahami dan mengetahui secara umum mengenai perbezaan antara kedua-dua psikologinya dan corak kehidupannya.

03.Ketiganya, mengetahui apa itu Baitul Muslim daripada pelbagai sudut dan aspek. Menuntut banyak buku dan kitab berkaitan baitul muslim bermula daripada proses pemilihan calon isteri sehingga belajar bagaimanakah kehidupan baitul muslim yang diredhai oleh Allah S.W.T.

Persiapan, persediaan dan perapian

Saya kongsikan beberapa panduan, tips dan ilmu berkaitan hal ini berdasarkan perkongsian saya bersama mereka yang lebih arif, berilmu, pakar dan berpengalaman. Semoga Allah merahmati mereka. Insya-Allah.

Bakal-bakal suami harus bersiap sedia, meletakan mind setting dan perlu paksa diri untuk menjadi suami yang :

01.Mampu menjadi Imam kepada isteri dan rumahtangganya.

(a) Pemimpin keluarga iaitu kepada isteri dan anak-anaknya. Ia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap mereka.

Mampu membuat pemilihan dalam soal kehidupan, mempunyai kemahiran untuk berbincang dan membuat keputusan dan sanggup berkorban. Eh, bagaimana hendak belajar ini jika belum berkahwin? Murabbi saya sebut, kita sudah boleh belajar soal ini dalam kita menjalinkan persaudaraan dan persahabatan. Di dalamnya, begitu banyak ibrah dan iktibar yang kita boleh belajar.

(b) Mampu menjadi Imam solat berjemaah di dalam rumah tangganya. Ini penting, kerana rumah tangga yang diberkat oleh Allah S.W.T adalah rumah tangga yang di dalamnya ada nilai-nilai keagamaan antaranya ialah selalu mendirikan Solat bersama dan berjemaah. Harus selesai dalam soal bacaan al-Quran sebelum berkahwin. Surah al-Fatihah telah diperdengarkan bacaannya di hadapan ustaz-ustaz yang berkelayakan dan lulus bacaannya.

Banyak menghafal al-Quran sebagai pedoman dan kekuatan untuk jiwa dan hati. Semua ini harus diselesaikan sebelum mendirikan rumah tangga. Anda bagaimana?

(c) Pembimbing isteri yang bijak, lemah lembut dan bertoleransi. Mendidik isteri adalah tanggungjawab suami sepenuhnya. Suami perlu tahu secara teori teknik-teknik mendidik, keseniaannya, kaedah-kaedahnya, cara-cara perlaksanaannya, menegur dan menasihatinya dengan mencontohi Rasulullah S.A.W.

(d) Seorang lelaki yang kuat tarbiyah ruhaniyahnya. Ini kerana seorang lelaki yang akan mengemudi rumah tangga sangat-sangat berhajatkan kepada kekuatan roh yang tinggi untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang akan menimpanya dalam bentuk ujian dan cabaran. Al-Quran, al-Mathurat, Zikrullah dan solat sunatnya harus dilakukan secara konsisten.

Hal agama ini juga harus menjadi perkara asas dan agenda utama kepada kaum lelaki untuk memperdalaminya. Ia ibarat maruah kita. Jangan sehingga satu tahap, kita yang menolak isteri kita ke depan untuk mengimami solat kita!

Tanya diri anda, sebelum berkahwin. Adakah aku ini sudah biasa menjadi imam dalam solat? Perhatikan betul-betul perkataan saya, sudah biasa. Bukannya – pernah ya.

Saya pernah jadi Imam. Bukan yang itu, TETAPI saya biasa menjadi Imam.

Ya, itulah maksud saya. Kita sudah membiasakan diri kita mengimamkan solat berjemaah dan perkara ini tidak akan berlaku kecuali kita ini adalah mereka yang mementingkan solat berjemaah, merupakan ahli surau atau masjid dan sangat-sangat mencintai amal ibadah.

02.Mampu menjadi manager atau pengurus rumahtangga

Suami harus berkemampuan mengurus rumah tangga dengan bijak, cermat dan berhemah. Kemahiran pengurusan harus digilap dan dikembangkan dari semasa ke semasa. Antara kemahiran yang perlu dipelajari ialah kemahiran pengurusan kewangan, pengurusan tekanan, pendidikan kejiwaan, kemahiran komunikasi, kemahiran berbincang, mampu menghadapi konflik, mampu menjaga perhubungan, mengetahui perundangan institusi kekeluargaan, tahu untuk hidup berkeluarga secara sihat dan berkemahiran dalam membuat keputusan.

Perkara ini tersangat penting. Saya lihat ramai yang ingin berkahwin, tetapi gagal dalam soal mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin dan pengurus. Inilah antara kepincangan dan dilemma yang berlaku kepada para pengantin baru.

Sehinggakan, ada dikalangan kita (siapa?) begitu kekok untuk mengurus hal-hal yang mudah seperti membayar bil elektrik, mengurus hal berkaitan urusan kehidupan di kaunter bank dan sebagainya. Kerana apa? Kerana semasa muda tidak pernah cuba untuk belajar dan melakukanya. Ayuh, kita ringankan diri menerokai perkara-perkara ini di awal usia peringkat keremajaan kita. Anda mampu mengubahnya.

03.Menjadikan rumahtangga sebagai daya motivasi, pendorong dan kekuatan untuk menggapai kejayaan di dalam kehidupan.

Hal ini harus bermula dengan visi serta misi yang ditetapkan secara bersama oleh suami dan isteri. Perkara ini boleh dibincangkan secara serius apabila berumah tangga kelak, cuma saya pernah diingatkan oleh seorang murabbi bahawa rumah tangga ini adalah anak tangga kedua untuk sama-sama mencapai cita-cita pembangunan Islam dalam kehidupan ini.

Perkara terpenting juga ialah, mendirikan rumah tangga ini adalah bertujuan untuk mempertingkatkan keimanan kita kepada Allah S.W.T. Inilah asas yang utama dan terpenting. Bersama pasangan mengharungi arus kehidupan dengan ketabahan, kesabaran dan keazaman yang tinggi. InsyaAllah.

04.menjadi suami tidak lengkap jika tidak melakukan persiapan untuk menjadi seorang bapa atau ayah.

Saya masih ingat, seorang sahabat saya ketika beliau mula-mula menyatakan hasratnya untuk berkahwin kepada ayahnya. Lantas ayahnya bertanya :

"Sebelum berkahwin ini, ayah hendak tanya. Dah habis baca buku Tarbiyatul Aulad ( Pendidikan anak-anak)?"

Terkedu sahabat saya. Ke situ pula ayahnya bertanya. Kenapa ayahnya bertanyakan soalan sedemikian? Ia adalah berkaitan persoalan persediaan, persiapan dan mind setting untuk melihat bahawa perkahwinan ini bukalah sesuatu yang kecil.

Untuk yang berhajat berkahwin, kita harus melihat ke hadapan dan berpandangan jauh. Sekurang-kurangnya, kita melangkah ke alam perkahwinan dengan jiwa yang bersedia dan sudah mengetahui ujian-ujian dan cabarannya.

Mereka yang berjiwa besar, akan melakukan persiapan sebelum menempuhi jalan yang akan dilaluinya kerana mereka sudah mengetahui halangan-halangan di hadapan.

Alah, nanti bila dah kahwin kita mulakanlah...

Jika ayat ini yang terpacul keluar dari mulut kita, berwaspadalah. Kita sebenarnya, adalah seorang yang tidak berhajat untuk benar-benar mendirikan rumahtangga. Bermain-main dalam soal perkahwinan, bererti kita sudah meruntuhkannya sebelum berkahwin.

Dalam soal ini, ramai yang mengesyorkan kepada saya agar banyak membaca buku-buku yang berkaitan, antaranya :

(1) Buku Pemantapan Jatidiri Muslim, tulisan ulama muktabar seperti Apa Ertinya Saya Menganut Islam? Oleh Fathi Yakan, Keperibadian Mukmin oleh Ali al- Hashimi, Menuju Ketakwaan oleh Mustafa Masyhur dan banyak lagi.

(2) Perkongsian pengalaman dalam mendirikan rumah tangga boleh kita kutip dan timba daripada mereka yang lebih arif, berpengalaman dan telah lama mendirikan rumah tangga. Banyakan sesi perbincangan, sembang-sembang dan kutiplah rahsia pengalaman mereka. Mungkin kita jadikan ibu bapa kita sebagai tempat rujuk dalam soal sebegini. Perbincangan yang terbuka sangat diperlukan bagi memudahkan proses pembelajaran berkaitan pembinaan bahtera rumahtangga. Buku yang baik, saya cadangan tulisan Ustaz Hasrizal Mohd Jamil, Buku Aku Terima Nikahnya dan sebagainya.

(3) – Buku yang baik untuk mengetahui perbezaan psikologi antara lelaki dan wanita tulisan John Gray, Men Are From Mars, Women Are From Venus. Selain itu boleh harmonikannya dengan ceramah-ceramah dan tulisan-tulisan yang disampaikan oleh ulama muktabar yang anda kenali. Insya-Allah

(4)- Buku berkaitan pendidikan anak-anak. Harus baca dan dapatkan gambaran awal ialahTarbiyatul Aulad oleh Abdullah Nasih Ulwan. Buku yang sangat bagus untuk ditelaahi. Insya-Allah.

Penutup – Komentar seorang hamba

(1)- Persiapan, persediaan dan perapian sebelum melangkah ke alam perkahwinan harus dilihat secara serius, menyeluruh dan penting. Ini yang utama, persiapannya. Jika anda telah bersiap, insyaAllah kita akan melangkah dengan langkahan penuh keyakinan, kebergantungan dan kepasrahan kepada Allah SWT.

(2)- "We get married, to increase our Iman," : Slogan ini harus dibumikan. Perkahwinan adalah sebuah perjalanan untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kayu ukur yang diletakan dalam sebuah perkahwinan yang barakah, mawadah dan rahmah.

(3)- Menjadi suami begitu sukar, jika kita menempuhinya tanpa apa-apa persediaan dan persiapan. Seharusnya, kita sudah meletakan diri dalam lingkungan bersedia dengan ilmu, proses pendidikan diri dan berusaha meningkatkan amalan harian tanpa jemu dan bosan.

(4)- Bagi saya, menjadi seorang suami itu amat sukar jika kita tidak punyai hasrat, tekad dan usaha untuk memperbaiki diri dan melakukan perubahan. Bak kata orang, perkahwinan ini adalah turning point berubah dalam hidup. Ayuh kita lakukan perubahan dengan berkahwin!

___________________________

[1] Surah An Nur (24) : 32
[2] Dr Hafidzah Haji Mustakim, Klinik Perdana Cawangan Islah, Kursus Pra Perkahwinan Balai Islam Lundang, 21-22 Disember 2010
[3] Abu Munzir, Musafir Tarbawi Utara, 1 Oktober 2010

-Artikel Iluvislam.com