Friday, January 21, 2011

kisah Rasulullah sebagai pengajaran

Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.

Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat- cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang."

Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." "Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s. a. w. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?" "Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar." "Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda. "Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ketuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan. Ketika pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?" Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."

Tuesday, January 18, 2011

LeLaKi MeNcArI sYuRgA siri 2

Raja Rom merenung wajah Syeikh Ibnu Saqa’ yang duduk di hadapan baginda.Dalam hatinya berkata,wajarlah lelaki itu diutuskan oleh khalifah kerajaan Islam untuk menemuinya bagi merapatkan hubungan antara kedua-dua kerajaan.

“Ilmunya tinggi,kefasihan dalam hukum-hakam dan kearifannya dengan isi al-Quran tak berupaya dicabar,”kata Raja Rom sendirian.

Baginda kagum kerana walaupun disoal bertalu-talu dengan pelbagai muslihat oleh pegawai istana dan pendeta Nasrani,Ibnu Saqa’ menjawabnya dengan mudah.Malah jawapannya bersandarkan hadis dan firman itu tidak mampu dipatahkan semula.

“Imannya bagaikan tembok besi,”Raja Rom berkata-kata di dalam hati.Dalam diam,baginda memikirkan sesuatu.

Ibnu Saqa’ kemudiannya diberikan tempat tinggal yang mewah dan Raja Rom menugaskan puterinya menggoda Ibnu Saqa’.Katanya,iman Ibnu Saqa’ mesti dirobohkan.

Dengan kecantikan paras rupanya,mudah sahaja puteri tersebut mencairkan jiwa Ibnu Saqa’.Digodanya lelaki tersebut habis-habisan hingga imannya mencair selapis demi selapis.

Kian hari,gelora hati Ibnu Saqa’ tambah menggegar.Tubuh puteri yang menggiurkan,senyuman manis,mata galak serta kulitnya yang putih bersih membuatkan Ibnu Saqa’ tidak tentu arah.

Rindu dendamnya terhadap sang puteri akhirnya tidak terbendung lagi.Lantas beliau menemui Raja Rom dan menyampaikan hasrat untuk memperisterikan puteri baginda.

“Boleh,tapi dengan satu syarat,”kata Raja Rom.

“Katakanlah,saya sedia menunaikannya.”Ibnu Saqa’ pantas membalas.

“Tinggalkanlah agamamu dan masuklah Nasrani.”

Di kala itu Ibnu Saqa’ terdiam.Seluruh tubuhnya menggeletar,jantungnya bagai direntap.Akal fikiran Ibnu Saqa’terasa melayang dan pandangannya gelap seketika.

Dalam keadaan serba salah,Ibnu Saqa’ terkenangkan segala ilmu yang dipelajarinya bersama ulama-ulama terbilang.Begitu juga dengan sahabat karibnya,Syeikh Abdul Qadir Jailani dan Syeikh Abu Sa’id Abdullah Abi Asrun.Malah masih terasa kemanisan ketika mereka bertiga bermusafir ke segenap rantau untuk belajar dengan alim ulama.

Ibnu Saqa’ menghela nafas.Setiap ayat suci al-Quran,yang semua dihafalinya,berlegar di fikiran.Amal ibadah yang tekun ditunaikannya siang dan malam bagai mengikat mindanya supaya mengatakan ‘tidak’.Kalau dituruti kehendak Raja Rom itu bermakna sia-sialah ilmu yang dipelajarinya selama ini.

“Macam mana Ibnu Saqa’?”soal Raja Rom mengejutkan lamunan Ibnu Saqa’.

“Baiklah tuanku,”jawab Ibnu Saqa’.”Saya akan tinggalkan Islam dan memeluk Nasrani.”

Raja Rom tersenyum lebar.Rancangannya sudah berjaya.Ibnu Saqa’ kemudiannya dikahwinkan dengan puteri Raja Rom.Tertunailah impian Syeikh Ibnu Saqa’ untuk beristerikan puteri Raja Rom.

Beberapa tahun kemudian,beberapa orang rakan Ibnu Saqa’ pergi ke pasar kota Rom.Kalau dulu mereka terkejut dengan berita lelaki itu keluar dari Islam,kali ini mereka terkejut pula kerana terserempak dengan Ibnu Saqa’ dalam keadaan daif di tengah pasar.Bajunya compang-camping,hapak dan koyak rabak.badannya hamis dan kurus kering.

Apabila ditanya,Syeikh Ibnu Saqa’ memberitahu,Raja Rom membuangnya ke situ sebaik sahaja beliau sakit dan tidak berdaya.

“Saya terpaksa cari rezeki,makan dan minum sendiri,”kata Ibnu Saqa’ dengan lemah.

“Adakah awak masih hafal al-Quran?”seorang kenalannya bertanya.

“Tidak…”jawab Ibnu Saqa’.

“Tidak??!!”soal kenalan itu seolah-olah tidak percaya.

Kian hari keadaan Ibnu Saqa’ tambah tenat dan ketika hayatnya semakin sampai ke penghujung,rakan-rakan memalingkan muka Ibnu Saqa’ ke arah kiblat.Namun lelaki itu pantas mengalih mukanya ke arah lain.Sampailah Izrail dating mencabut nyawanya,Ibnu Saqa’ tetap tidak mahu memandang ke arah kiblat.

Akhirnya,kembalilah seorang ilmuan Islam yang dulunya hafiz al-Quran dan dihormati alim ulama,sebagai seorang kufur.Dia ditewaskan oleh seorang wanita..

KESIMPULANNYA KEDUA2 SIRI

Mati itu benar,syurga dan neraka itu juga benar.Di mana seseorang itu akan ditempatkan kelak,ia adalah urusan Allah.Biarpun demikian,orang yang hidupnya gemar melakukan perbuatan keji dan maksiat tidak boleh sama sekali dikatakan bakal menghuni neraka.Samalah keadaannya,orang yang tidak lekang daripada melakukan amal makruf belum tentu akan ditempatkan di syurga.Amalan semasa hayat bukan jaminannya

Monday, January 17, 2011

LeLaKi MeNcArI sYuRgA siri 1


Kehangatan cahaya matahari pijar membakar kulit.Nabi Musa duduk di bawah sebatang pokok dan meneguk air buat penghilang dahaga.Kakinya terasa lenguh selepas menempuh satu perjalanan yang amat jauh.

Sambil mengelap titis-titis peluh yang bermanik di dahi,Nabi Musa memandang warga kampung yang lalu-lalang di hadapannya.Seketika kemudian dia bangun menghampiri seorang tua.

“Saudara,”Nabi Musa menyapa,”Betulkah ada seorang lelaki meninggal dunia di sini dalam sehari dua ini?”

“Betul…adakah dia ahli keluarga kamu?”tanya lelaki tua itu.

“Oh…tidak,tidak.Tapi betulkah mayat itu tak disempurnakan,tapi dicampakkan ke dalam sampah dan kotoran?”

“Betul,”jawab penduduk kampung itu.”Itulah tempat yang paling layak untuknya.”

Nabi Musa terperanjat mendengar kata-kata lelaki tersebut.”Tapi kenapa?”

“Sebab hidupnya keji,”balas lelaki tua dengan mencebikkan muka.

Tambah lelaki tua itu,si mati semasa hidupnya tidak lekang daripada maksiat.Arak,judi dan merompak sudah menjadi darah dagingnya.Kalau nampak wanita,dia akan mencari jalan untuk merosakkannya hingga berjaya.

Akibat sifat kejinya itu,lelaki tersebut dibenci oleh seluruh penduduk kampung.Maka apabila dia meninggal dunia,penduduk kampung tidak mahu menguruskan mayatnya.Malah mereka mengheret,kemudian menghumbannya ke dalam longgokan sampah dan kotoran.

Atas permintaan Nabi Musa,beliau dibawa ke kawasan timbunan sampah dan kotoran,tempat mayat lelaki berkenaan terbongkang seperti bangkai.Sebaik melihat keadaan mayat yang telah kejang,busuk dan bersempudal kotoran jijik,Nabi Musa termenung.

Nabi Musa bermunajat kepada Allah dan bertanya,mengapa beliau diperintahkan supaya menyembahyang dan mengebumikan mayat lelaki itu

sedangkan kawan dan jiran-jiran semuanya mengatakan dia adalah sejahat-jahat manusia.Mengapakah Allah memandang lelaki itu begitu istimewa?

Tatkala itu turunlah wahyu daripada Allah bagi menjawab pertanyaan Nabi Musa;”Wahai Musa,memang benar apa yang dikatakan oleh orang itu.Tetapi sewaktu hampir saat kematian lelaki ini,dia meminta syafaat dari-Ku dan tiga perkara lain.Ketahuilah wahai Musa,andai kata semua orang yang berbuat dosa tersebut turut memohon syafaat tiga perkara itu kepada-Ku,Aku pasti akan memenuhinya.Bagaimana Aku tidak simpati sedangkan dia memohon kepada-Ku dengan sepenuh hati.”

“Ya Allah,apakah tiga perkara itu?,”tanya Nabi Musa.

Pertama,kata Allah,dia insaf dan memohon supaya dosanya diampuni.Menurut lelaki itu,walaupun saban hari melakukan kejahatan,namun sebenarnya di dalam hati,dia amat benci kepada maksiat.

Bagaimanapun,dia tidak dapat berhenti daripada melakukan perbuatan keji kerana di dalam dirinya terdapat tiga perkara yang amat dibencinya.Tetapi tiga perkara itulah yang mendorong beliau terus melakukan maksiat.Tiga perkara itu adalah nafsu,kawan-kawan yang jahat serta iblis.

Tambah lelaki tersebut,biarpun melakukan perbuatan mungkar,dia sebetulnya lebih sayangkan para solihin.Malah dia lebih suka menerima kunjungan para solihin dan menjadikan kediamannya sebagai tempat berkumpul alim ulama hinggakan jika ada orang-orang soleh memerlukan bantuannya,lelaki itu mendahulukan mereka berbanding kawan-kawannya yang berperangai keji.

Seterusnya lelaki itu merayu di hujung hayatnya,”Ya Allah,andai kata Engkau mengampuni segala dosaku,maka akan bergembiralah para kekasih dan nabi-nabi-Mu,dan susah hatilah syaitan yang menjadi musuh-Mu.Jika Engkau menyeksa aku kerana banyaknya dosa,maka syaitan dan iblis bergembira sedangkan para nabi dan wali-Mu berasa sedih dan kecewa.

“Sesungguhnya aku tahu bahawa gembiranya para wali lebih Engkau senangi daripada gembiranya syaitan dan sahabatnya.Aku berharap semoga Engkau mengampuniku.Berilah kasih sayang-Mu kepadaku.”

Justeru kerana keikhlasan lelaki itu mengakui segala kesilapannya,Allah mengampunkan dosa-dosanya.Lantas Allah memerintahkan Nabi Musa supaya melakukan apa yang telah diperintahkan kepadanya.Malah atas kemuliaan lelaki tersebut,Allah mengampunkan dosa orang-orang yang menyembahyang dan mengebumikan jenazahnya.

“Sesungguhnya lelaki itu adalah wali dan kekasih-Ku,”kata Allah.