Tuesday, March 15, 2011

peperangan KHAIBAR

Punca meletusnya peperangan
Pada penghujung bulan Muharram tahun 7 hijrah telah berlakunya peperangan Khaibar . Ia berlaku di satu tempat yang bernama Khaibar iaitu sebuah tempat yang diduduki oleh Yahudi yang terletak kira-kira 80 hingga 100 batu utara Madinah. Sebab meletusnya peperangan ini adalah kerana setelah Rasulullah S.A.W membuat kajian mengenai tiga puak yang telah berperang dengan tentera Islam dalam peperangan Hudaibiah sebelum ini di mana hasilnya salah satu pihak telah mematuhi apa yang telah disepakati dan hanya tinggal dua puak sahaja yang belum menunjukkan sikap patuh dan taat iaitu yahudi dan kabilah an-Najdi.

Perkara ini dianggap begitu kritikal sehingga mereka benar-benar tunduk dan patuh kepada Daulah Islamiah dalam menjamin keamanan dan ketenteraman. Oleh itu perlu diambil tindakan segera walau pun terpaksa menumpahkan darah sehingga Islam mampu disampaikan.Yahudi yang berkubu di Khaibar merupakan antara mereka yang terlibat dan bersatu dengan musuh Islam yang lain dalam menyerang tentera Islam dalam peperangan Ahzab. Mereka juga merupakan penghasut yang menanamkan sikap permusuhan dalam diri bani Quraizah dalam menentang Islam.

Mereka juga merupakan orang tengah yang berhubung dengan puak munafik dalam membuat kacau terhadap Daulah Islamiah. Selepas itu sebab yang paling besar ialah sikap keras kepala mereka yang mengundang untuk berlakunya peperangan antara mereka dan tentera Islam. Sebagaimana maklum, sebelum ini masalah pengkhianatan dan pakatan yahudi dalam kawasan Madinah telah dapat diselesaikan oleh Rasulullah S.A.W dengan berlakunya beberapa siri penghalauan mereka dari Madinah.

Kita lihat di sini betapa kedegilan golongan yahudi terus berlaku semenjak nabi-nabi terdahulu sehingga zaman kita sekarang ini. Mereka tidak pernah tunduk dan patuh pada setiap perjanjian yang dibuat termasuk apa yang kita lihat sekarang dengan peristiwa yang berlaku di bumi Palestin semenjak pencerobohan pada 15 Mei 1948 iaitu 51 tahun sebelum ini.Jika di masa Rasulullah S.A.W menjadi pemimpin Daulah Islamiah di Madinah pun mereka melanggar perjanjian yang dibuat apatah lagi pada zaman kita sekarang di mana Daulah Islamiah tidak ada maka kejahatan dan kebiapan mereka lebih jelas dan terang.Kebiadapan mereka dipandang remeh oleh pemimpin sekular yang menganggap bahawa bumi Palestin adalah milik mereka bukannya milik umat Islam keseluruhannya.

Kita perlu ingat amaran daripada Sultan Abdul Hamid II ketika khilafah Uthmaniah begitu lemah namun dengan rasa bertanggungjawab beliau menolak permintaan daripada barat agar menyerah bumi Palestin kepada mereka. Baginda menyatakan bahawa bumi Palestin milik seluruh umat Islam dan untuk mengambilnya maka terpaksa melangkah mayat umat Islam terlebih dahulu. Kita juga perlu ingat kata-kata Sayyidina Umar al-Khottab ketika mula-mula membuka kota Baitul Maqdis daripada cengkaman kuffaryang berbunyi :" Kita merupakan kaum yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam, selagimana kita berpegang dengan Islam maka selagi itu kita akan dimuliakan tetapi jika kita meninggal Islam maka kehinaan akan menimpa kita".

Kekuatan musuh dan pakatan munafik

Yahudi di Khaibar mempunyai kubu-kubu yang kukuh dan memiliki lebih kurang 10 ribu tentera serta kelengkapan senjata yang banyak. Mereka merupakan pengkhianat dan pencetus huru-hara yang mesti dihancurkan sebelum bergerak lebih agresif dan bakal menggugat ketenteraman terhadap kerajaan Islam di Madinah. Oleh sebab itu, Rassulullah S.A.W telah mengambil tindakan segera dengan mengumpul bala tentera Islam untuk keluar ke Khaibar.Bilangan tentera Islam yang turut serta dalam peperangan ini ialah seramai 1600 orang dengan 2 ratus tentera berkuda dan bersama mereka mereka yang pernah turut serta dalam peperangan Hudaibiah. Sebelum itu Rasulullah S.A.W telah mengarahkan agar hanya mereka yang benar-benar ingin dan bersedia untuk keluar berperang sahaja yang turut serta dalam peperangan ini.

Ini merupakan satu strategi awal yang penting dalam menjamin sebarang kemungkinan buruk yang bakal berlaku jika mereka yang tidak bersedia untuk berperang turut keluar bersama mereka dalam peperangan ini.

Pada masa yang sama puak munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai telah menghantar surat kepada yahudi Khaibar tentang kemaraan tentera Islam ke tempat mereka untuk memerangi yahudi Khaibar. Apabila menerima berita daripada puak munafik maka yahudi Khaibar terus menghantar Kinanah bin Abu al-Hakik dan Hauzah bin Qais ke Ghatfan bagi tujuan meminta bantuan daripada munafik kerana puak munafik telah berjanji dengan yahudi Khaibar mengenai perkara ini sebelum ini serta mereka sepakat dalam menentang Islam.

Puak munafik memberi syarat iaitu mereka akan mendapat sebahagian daripada hasil tanaman Khaibar sekiranya tentera Islam berjaya ditewaskan.Inilah dia kejahatan yang jelas pada diri puak munafik di mana mereka hanya beriman pada mulut tetapi dalam hati mereka tersimpan dendam kesumat terhadap Islam.

Mereka merupakan musuh dalam selimut atau pun gunting dalam lipatan kepada Islam. Pergerakan mereka lebih sukar dibaca berbanding yahudi atau pun kuffar yang lain.

Pada zaman kita sekarang ini lebih ramai lahirnya puak munafik yang mengatakan bahawa mereka mahu juga kepada Islam sedangkan tindakan mereka adalah untuk melunturkan semangat jihad dan menguburkan Islam dalam jangka masa yang panjang dengan sistem sekular yang diamalkan.Ingatlah kata-kata mufti terakhir pada zaman Khilafah Uthmaniah yang menyatakan sekular merupakan revolusi kerajaan terhadap rakyat dan ia merupakan jalan atau sistem yang secara mudah akan membawa kepada murtad.


Peristiwa sepanjang perjalanan ke Khaibar


Rasulullah S.A.W terus mara menuju Khaibar melalui Bukit Asr kemudian Sohba' dan seterusnya turun ke sebuah wadi yang dipanggil ar-Raji' di mana jarak antaranya dengan Ghatfan adalah sehari semalam perjalanan. Mereka tiba di Ghatfan dan meneruskan perjalanan ke Khaibar bagi membuat perhitungan dengan yahudi di sana. Ketika mereka berada dipertengahan jalan maka terdengar suara di belakang mereka dengan suara ketakutan dan kebimbangan. Suara itu merupakan suara penduduk di kampung antara Ghatfan dan Khaibar yang mana mereka beranggapan bahawa tentera Islam mahu memerangi mereka tetapi sebenarnya adalah sebaliknya.Mereka terus mengambil tindakan dengan menjauhkan diri daripada tentera Islam dan Khaibar.

Rasulullah s.a.w memanggil dua orang yang bertanggungjawab dalam memberi petunjuk tentang jalan yang terbaik menuju Khaibar yang mana salah seorang daripada mereka bernama Husail.Ini bertujuan agar mereka dapat masuk Khaibar melalui sebelah utaranya. kata salah seorang daripada keduanya : " Saya akan menunjukkan kepada engkau wahai Rasulullah". Baginda S.A.W bersetuju untuk membenarkannya dalam menunjuk jalan yang terbaik sehinggalah mereka sampai dipersimpangan jalan yang bercabang. Dia berkata ;" Wahai Rasulullah! Ini merupakan jalan-jalan yang boleh dilalui untuk menuju ke destinasi yang dituju". Rasulullah S.A.W meminta agar dia menamakan setiap jalan-jalan itu lalu dia berkata :"Nama salah satu daripanya ialah Hazan". Maka baginda S.A.W tidak setuju untuk melalui jalan itu. Dia berkata lagi :" Nama jalan lain ialah Syas". Baginda turut tidak mahu melalui jalan itu. Dia memberitahu lagi bahawa jalan seterusnya bernama Hatob dan baginda S.A.W tetap tidak bersetuju untuk melalui jalan itu.Husail berkata bahawa hanya tinggal satu saja lagi jalan yang bernama Marhab maka Rasulullah S.A.w terus bersetuju untuk melalui jalan itu untuk menuju ke Khaibar. dari sini kita dapati bahawa strategi merupakan satu perkara penting dalam sesuatu tindakan apatah lagi peperangan walau pu ia nampak sesuatu yang kecil. Sebab itulah kata Sayyidina Ali : Kebenaran tanpa organisasi atau pergerakan yang tersusun rapi akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun strategi dan organisasinya.

Tentera Islam terus mara menuju ke Khaibar dan mereka bermalam pada malam itu di satu kawasan yang berdekatan dengan Khaibar.Ini adalah merupakan antara strategi dalam peperangan di mana Rasulullah S.A.W apabila tiba di satu tempat dalam sesuatu peperangan maka baginda S.A.W tidak akan memulakan perangan melainkan pada pagi keesokan harinya. Selepas fajar menyinsing maka tentera Islam terus menuju ke Khaibar di mana penduduk Khaibar tidak sedar akan ketibaan mereka pada pagi itu. Penduduk Khaibar keluar menjalankan kerja-kerja harian mereka seperti biasa tanpa merasakan bahawa tentera Islam sedang mara menuju ke arah mereka sehinggalah mereka terpandang kemaraan tentera Islam barulah mereka merasa terkejut lalu bertempiaran melarikan diri ke kampung mereka.Apabila tiba di Khaibar lalu Rasulullah S.A.W terus memerintahkan agar tentera Islam berhenti seraya berdoa kepada Allah SWT.Ketika hampir dengan sebuah kubu musuh lalu baginda S.A.W mengumpul bala tentera Islam di situ tetapi al-Hubbab bin al-Munzir telah bertanya kepada baginda S.A.W tentang tempat itu adakah ia merupakan wahyu atau pun sebaliknya kerana beliau tahu tentang selok-belok keadaan di situ. Beliau mencadangkan agar tentera Islam berpindah ke tempat lain kerana tempat itu begitu merbahaya disebabkan musuh berada berhampiran mereka iaitu dengan jarak lontaran anak panah sahaja dan mereka juga berada ditempat yang tinggi daripada tentera Islam.Tentera musuh mampu bergerak pantas dalam memecah-belahkan tentera Islam serta mampu menyerang hendap tentera Islam pada waktu malam dengan berselindung di sebalik pohon-pohon tamar yang banyak. Mendengar penjelasan ini lalu baginda S.A.W mengarah agar tentera Islam berpindah ke tempat yang lebih stategik dan selamat. Ini menunjukkan kepada kita bahawa seseorang pemimpin pada sesetengah keadaan perlu meminta dan mendengar pandangan yang terbaik daripada orang bawahan bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan dalam sesuatu pergerakan terutama peperangan.

Perlantikan panglima perang dan meletusnya peperangan antara kedua pihak

Selepas itu Rasulullah S.A.W telah mengatur strategi perang seterusnya iaitu merancang untuk memulakan serangan selepas Subuh keesokan harinya. Keesokan paginya ketika mahu melantik panglima perang, baginda mencari-cari mereka yang layak dan akhirnya baginda bertanya tentang Sayyidina Ali bin Abu Tolib. Para sahabat mengatakan bahawa Sayyidina Ali sakit mata lalu baginda meminta agar beliau tampil ke hadapan. Dengan pertolongan Allah SWT selepas baginda memegang bahagian mata Sayyidina Ali maka matanya kembali pulih seperti tidak pernah sakit mata sebelum ini. Sayyidina Ali mengetuai bala tentera Islam dalam menentang musuh dan menawan kubu-kubu mereka di mana sebelum itu Rasulullah S.A.W telah berpesan agar beliau menjalankan amanah ini dengan baik dan apabila tiba di kawasan musuh maka serulah mereka kepada Islam terlebih dahulu. Beritahu mereka tentang kewajipan mereka terhadap Allah.Inilah ia kebaikan dan kebenaran Islam di mana ia tidak menyuruh agar menyerang musuh secara membabi buta tanpa memberi peluang kepada musuh untuk bertaubat atau pun berdamai dengan syarat patuh dan tunduk dengan perundangan Islam yang dilaksanakan dalam Daulah Islam walau pun mereka tidak memeluk Islam.

Islam bukan agama yang menghalalkan darah musuh tanpa sebab di mana serangan hanya boleh dilakukan apabila musuh degil dan tetap tidak mahu tunduk kepada Islam serta berusaha memeranginya.

Kita lihat sekarang ini Amerika Syarikat mahu menguasai dunia dan mahu setiap negara patuh dan tunduk kepada setiap arahn yang dikeluarkan. Begitu juga kita lihat bagaimana yahudi mahu menguasai dunia dalam jarak masa yang telah dirancangkan dengan terlebih dahulu membina sebuah pusat zionis antarabangsa di Palestin.

Begitu juga kita lihat kekejaman Serbia di Kosovo sekarang ini adalah bagi memastkan Islam tidak tersebar dan pengaruh Kristian terus kekal di Eropah dan usaha mereka dibantu oleh NATO dalam suasana mereka mengatakan bahawa mereka mahu menghentikan krisis Balkan.

Hindu mahu meluaskan pengaruhnya dengan mencetuskan kezaliman terhadap Kashmir dan begitulah seterusnya di mana masing-masing cuba mempengaruhi orang lain dengan caranya yang tersendiri.

Apakah kesalahan Islam apabila cuba mempengaruhi manusia sedangkan ia merupakan agama yang sebenar yang wajib dianuti oleh semua orang. Cuma cara Islam mempengaruhi orang lain jauh berbeza dengan cara ideologi atau pun agama lain dalam mempengaruhi manusia. Ia telah menggariskan cara dan matlamat sebenar berdasarkan kebenarannya dan juga kasih sayang serta keadilan yang perlu dihormati oleh setiap pejuang Islam.Islam tidak memaksa orang bukan Islam untuk memeluk Islam tetapi sentiasa membuka peluang kepada mereka untuk mengetahui tentang Islam.

Islam melarang kita mencaci agama mereka dan merobohkan gereja atau pun kuil mereka tetapi sebaliknya mengajak orang bukan Islam untuk berdiskusi tentang kebenaran Islam dan kesesatan mereka.

Tetapi masalah yang dihadapi sekarang di negara kita yang diperintah oleh pemimpin sekular yang sentiasa menggunakan Islam untuk tujuan politik semata-mata tanpa ada usaha pun ke arah pelaksaannya secara menyeluruh. Mereka turut berperanan besar dalam menakutkan orang bukan Islam tentang Islam dan juga terus membenarkan jenayah murtad berleluasa tanpa ada hukuman yang sewajarnya. Agensi-agensi agama serta media masa hanya digunakan untuk mengaburkan pandangan rakyat tentang Islam yang sebenar bagi menjaga kedudukan politik mereka bukannya digunakan sepenuhnya untuk menerangkan tentang Islam.

Mereka sendiri jahil tentang Islam dan ulama' upahan mereka hanya tunduk pada kata-kata mereka bukannya membantu mereka untuk menerangkan tentang Islam.Sampai bilakah ia akan terus berlaku?. Lakukanlah perubahan dengan kita menumbang kerjaan sesat dan zalim dan menggantikannya dengan kerajaan yang berteraskan Islam. Mengapa kita perlu takut dan terus gerun untuk menukar kerajaan yang ada. Lupakah kita tentang janji Allah untuk memberikan kita kemenangan di dunia dan akhirat jika kita membantu dalam menegakkan Islam?.

Mengapa orang bukan Islam boleh tunduk pada sistem penjajah yang mana mereka bukan warganegara kita sedangkan mereka takut untuk berada di bawah keadilan sistem Islam.

Ingatlah kata-kata ulama' bahawa seseorang itu akan memusuhi setiap apa yang tidak diketahuinya.Oleh itu orakkan langkah dan aturkan gerak dalam memastikan kejahilan umat Islam dan orang bukan Islam tentang Islam mampu ditangani.

Ingatlah bahawa perjuangan yang berteraskan Islam akan dibantu oleh Allah.

. Akhirnya tentera Islam dapat menawan kesemua kubu-kubu musuh kecuali dua kubu yang terakhir di mana penduduk dalam kedua-dua kubu ini menyerah diri. Akhirnya mereka keluar daripada kubu mereka dan meninggalkan bumi Khaibar dalam keadaan sehelai sepinggang. Selepas mereka meninggalkan kubu mereka maka tentera Islam dapati dalam kubu itu senjata yang begitu banyak disamping suhuf-suhuf daripada kitab Taurat. Selepas itu ada dikalangan yahudi yang menuntut suhuf tersebut lalu baginda S.A.W meminta agar diserahkannya kepada mereka. Dalam peperangan ini seramai 93 orang yahudi mati dan 15 tentera Islam gugur syahid.

Kita dapat melihat bagaimana kedegilan yahudi ini begitu jelas sehingga mereka terpaksa dihalau dari Madinah dan beberapa tempat sekitarnya walau pun mereka bukanlah suatu kaum majoriti pada masa itu. Mereka kini membalas dendam tetapi tidak mempunyai alasan kukuh dalam mengusir umat Islam dari tanahair mereka sendiri.

Berkahwin dengan Sofiyyah dan Cubaan meracun Rasulullah S.A.W

Dalam membahagi harta rampasan ini maka didapati ada sebahagiannya telah disorokkan oleh dua orang anak Abu al-Hakik di mana salah seoarang bernama Kinanah. Kedua-duanya telah dibunuh kerana kesalahan dan kedegilan mereka di mana Kinanah mempunyai isteri yang bernama Sofiyyah dan dia telah dikahwini oleh Rasulullah S.A.W setelah suaminya mati dan dia sendiri memeluk Islam.

Rasulullah S.A.W telah mengadakan sedikit majlis perkahwinan mereka yang mana Ummu Sulaim telah mengandam Sofiyyah. Pada suatu hari Rasulullah S.A.W terlihat bagaimana muka Sofiyyah kemerahan lalu bertanya mengenainya lalu dia memberitahu : " Wahai Rasulullah! Aku telah lihat sebelum ketibaan engkau ke kampung kami seperti bulan jatuh daripada tempatnya lalu jatuh kebilikku. Dan tidak demi Allah akau tidak menyebut tentang dirimu sesuatu. Ketika aku menceritakan kepada suamiku maka dia telah memukul mukaku. Suamiku berkata : Engkau berangan untuk mendapatkan raja di Madinah".


Diakhir peristiwa ini ada seorang perempuan telah menghidangkan satu bahagian daging kambing kegemaran Rasulullah S.A.W di mana ia diletakkan racun.

Di sini sekali lagi kita dapat melihat bagaimana Allah SWT sentiasa membantu rasulNya dengan perantaraan malaikat yang memberitahu tentang racun tersebut. Walau bagaimana pun Basyar bin al-Barra' bin Ma'rur yang berada bersama Rasulullah S.A.W telah memakan daging kambing itu lalu mati. Rasulullah S.A.W terus memanggil perempuan itu lalu bertanya mengenai tujuan sebenar dia meletakkan racun pada daging kambing itu.

Perempuan itu mengatakan bahawa dia ingin tahu tentang kerasulan baginda di mana jika baginda merupakan malaikat maka dengan sendiri baginda tidak akan menyentuh daging kambing itu dan jika baginda merupakan rasul maka baginda tidak akan makan daging itu kerana akan diberitahu oleh Allah SWT tentang racun itu. Mendengar jawapan perempuan itu lalu Rasulullah S.A.W memaafkannya.

Persilihan yang berlaku di sini adalah mengenai hukuman terhadap perempuan ini atas kesalahannya membunuh.Sebagaimana yang disebut oleh imam Muslim bahawa perempuan yahudi ini memeluk Islam selepas peristiwa racun itu maka Rasulullah S.A.W tidak membunuhnya.

post by:bicara muslim

Sunday, March 13, 2011

cinta Adam dan Hawa

Syurga yang serba nikmat
…Segala kesenangan ada di dalamnya. Semua tersedia apa saja yang diinginkan, tanpa bersusah payah memperolehinya. Sungguh suatu tempat yang amat indah dan permai, menjadi idaman setiap insan. Demikianlah menurut riwayat, tatkala Allah SWT. selesai mencipta alam semesta dan makhluk-makhluk lainnya, maka dicipta-Nya pula Adam ‘alaihissalam sebagai manusia pertama. Hamba yang dimuliakan itu ditempatkan Allah SWT di dalam Syurga (Jannah).

Adam a.s hidup sendirian dan sebatang kara, tanpa mempunyai seorang kawan pun. Ia berjalan ke kiri dan ke kanan, menghadap ke langit-langit yang tinggi, ke bumi terhampar jauh di seberang, maka tiadalah sesuatu yang dilihatnya dari mahkluk sejenisnya kecuali burung-burung yang berterbangan ke sana ke mari, sambil berkejar-kejaran di angkasa bebas, bernyanyi-nyanyi, bersiul-siul, seolah-olah mempamerkan kemesraan.

Adam a.s terpikat melihatnya, rindu berkeadaan demikian. Tetapi sungguh malang, siapalah gerangan kawan yang hendak diajak. Ia merasa kesepian, lama sudah. Ia tinggal di syurga bagai orang kebingungan, tiada pasangan yang akan dibujuk bermesra sebagaimana burung-burung yang dilihatnya.

Tiada pekerjaan sehari-hari kecuali bermalas-malas begitu saja, bersantai berangin-angin di dalam taman syurga yang indah permai, yang ditumbuhi oleh bermacam bunga-bunga kuntum semerbak yang wangi, yang di bawahnya mengalir anak-anak sungai bercabang-cabang, yang desiran airnya bagai mengandung pembangkit rindu.

Adam kesepian

Apa saja di dalam syurga semuanya nikmat! Tetapi apalah erti segalanya kalau hati selalu gelisah resah di dalam kesepian seorang diri?

Itulah satu-satunya kekurangan yang dirasakan Adam a.s di dalam syurga. Ia perlu kepada sesuatu, iaitu kepada kawan sejenis yang akan mendampinginya di dalam kesenangan yang tak terhingga itu. Kadangkala kalau rindu dendamnya datang, turunlah ia ke bawah pohon-pohon rendang mencari hiburan, mendengarkan burung-burung bernyanyi bersahut-sahutan, tetapi aduh hai kasihan…bukannya hati menjadi tenteram, malah menjadi lebih tertikam. Kalau angin bertiup sepoi-sepoi basah di mana daun-daunan bergerak lemah gemalai dan mendesirkan suara sayup-sayup, maka terkesanlah di hatinya keharuan yang begitu mendalam; dirasakannya sebagai derita batin yang tegak di sebalik nikmat yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.

Tetapi walaupun demikian, agaknya Adam a.s malu mengadukan halnya kepada Allah SWT. Namun, walaupun Adam a.s malu untuk mengadu, Allah Ta’ala sendiri Maha Tahu serta Maha Melihat apa yang tersembunyi di kalbu hamba-Nya. Oleh itu Allah Ta’ala ingin mengusir rasa kesepian Adam.

Hawa diciptakan

Tatkala Adam a.s sudah berada di puncak kerinduan dan keinginan untuk mendapatkan kawan, sedang ia lagi duduk terpekur di atas tempat duduk yang berlapiskan tilam permaidani serba mewah, maka tiba-tiba ngantukpun datanglah menawannya serta langsung membawanya hanyut ke alam tidur.

Adam a.s tertidur nyenyak, tak sedar kepada sesuatu yang ada di sekitarnya. Dalam saat-saat yang demikian itulah Allah SWT menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril a.s untuk mencabut tulang rusuk Adam a.s dari lambung sebelah kiri. Bagai orang yang sedang terbius, Adam a.s tidak merasakan apa-apa ketika tulang rusuknya dicabut oleh malaikat Jibril a.s.

Dan oleh kudrat kuasa Ilahi yang manakala menghendaki terjadinya sesuatu cukup berkata “Kun!” maka terciptalah Hawa dari tulang rusuk Adam a.s, sebagai insan kedua penghuni syurga dan sebagai pelengkap kurnia yang dianugerahkan kepada Adam a.s yang mendambakan seorang kawan tempat ia boleh bermesra dan bersenda gurau.

Pertemuan Adam dan Hawa

Hawa duduk bersandar pada bantal lembut di atas tempat duduk megah yang bertatahkan emas dan permata-permata bermutu manikam, sambil terpesona memperhatikan kecerahan wajah dari seorang lelaki kacak yang sedang terbaring, tak jauh di depannya.

Butir-butir fikiran yang menggelombang di dalam sanubari Hawa seolah-olah merupakan arus-arus tenaga elektrik yang datang mengetuk kalbu Adam a.s, yang langsung menerimanya sebagai mimpi yang berkesan di dalam gambaran jiwanya seketika itu.

Adam terjaga….! Alangkah terkejutnya ia ketika dilihatnya ada makhluk manusia seperti dirinya hanya beberapa langkah di hadapannya. Ia seolah tak percaya pada penglihatannya. Ia masih terbaring mengusap matanya beberapa kali untuk memastikan apa yang sedang dilihatnya.

Hawa yang diciptakan lengkap dengan perasaan malu, segera memutar badannya sekadar untuk menyembunyikan bukit-bukit di dadanya, seraya mengirimkan senyum manis bercampur manja, diiringi pandangan melirik dari sudut mata yang memberikan sinar harapan bagi hati yang melihatnya.

Memang dijadikan Hawa dengan bentuk dan paras rupa yang sempurna. Ia dihiasi dengan kecantikan, kemanisan, keindahan, kejelitaan, kehalusan, kelemah-lembutan, kasih-sayang, kesucian, keibuan dan segala sifat-sifat keperibadian yang terpuji di samping bentuk tubuhnya yang mempesona serta memikat hati setiap yang memandangnya.

Ia adalah wanita tercantik yang menghiasai syurga, yang kecantikannya itu akan diwariskan turun temurun di hari kemudian, dan daripadanyalah maka ada kecantikan yang diwariskan kepada wanita-wanita yang datang dibelakangnya.

Adam a.s pun tak kurang gagah dan kacaknya. Tidak dijumpai cacat pada dirinya kerana ia adalah satu-satunya makhluk insan yang dicipta oleh Allah SWT secara langsung tanpa perantaraan.

Semua kecantikan yang diperuntukkan bagi lelaki terhimpun padanya. Kecantikan itu pulalah yang diwariskan turun temurun kepada orang-orang di belakangnya sebagai anugerah Allah SWT kepada makhluk-Nya yang bergelar manusia. Bahkan diriwayatkan bahawa kelak semua penduduk syurga akan dibangkitkan dengan pantulan dari cahaya rupa Adam a.s.

Adam a.s bangkit dari pembaringannya, memperbaiki duduknya. Ia membuka matanya, memperhatikan dengan pandangan tajam. Ia sedar bahawa orang asing di depannya itu bukanlah bayangan selintas pandang, namun benar-benar suatu kenyataan dari wujud insani yang mempunyai bentuk fizikal seperti dirinya. Ia yakin ia tidak salah pandang. Ia tahu itu manusia seperti dirinya, yang hanya berbeza kelaminnya saja. Ia serta merta dapat membuat kesimpulan bahawa makhluk di depannya adalah perempuan. Ia sedar bahawa itulah dia jenis yang dirindukannya. Hatinya gembira, bersyukur, bertahmid memuji Zat Maha Pencipta.

Ia tertawa kepada gadis jelita itu, yang menyambutnya tersipu-sipu seraya menundukkan kepalanya dengan pandangan tak langsung, pandangan yang menyingkap apa yang terselit di kalbunya.

Adam terpikat

Adam terpikat pada rupa Hawa yang jelita, yang bagaikan kejelitaan segala puteri-puteri yang bermastautin di atas langit atau bidadari-bidadari di dalam syurga.

Tuhan menanam asmara murni dan hasrat berahi di hati Adam a.s serta menjadikannya orang yang paling asyik dilamun cinta, yang tiada taranya dalam sejarah, iaitu kisah cinta dua insan di dalam syurga. Adam a.s ditakdirkan jatuh cinta kepada puteri yang paling cantik dari segala yang cantik, yang paling jelita dari segala yang jelita, dan yang paling harum dari segala yang harum.

Adam a.s dibisikkan oleh hatinya agar merayu Hawa. Ia berseru: “Aduh, hai si jelita, siapakah gerangan kekasih ini? Dari manakah datangmu, dan untuk siapakah engkau disini?” Suaranya sopan, lembut, dan penuh kasih sayang.
“Aku Hawa,” sambutnya ramah. “Aku dari Pencipta!” suaranya tertegun seketika. “Aku….aku….aku, dijadikan untukmu!” tekanan suaranya menyakinkan.

Tiada suara yang seindah dan semerdu itu walaupun berbagai suara merdu dan indah terdengar setiap saat di dalam syurga. Tetapi suara Hawa….tidak pernah di dengarnya suara sebegitu indah yang keluar dari bibir mungil si wanita jelita itu. Suaranya membangkit rindu, gerakan tubuhnya menimbulkan semangat.

Kata-kata yang paling segar didengar Adam a.s ialah tatkala Hawa mengucapkan terputus-putus: “Aku….aku….aku, dijadikan untukmu!” Kata-kata itu nikmat, menambah kemesraan Adam kepada Hawa.

Adam a.s sedar bahawa nikmat itu datang dari Tuhan dan cintapun datang dari Tuhan. Ia tahu bahawa Allah SWT itu cantik, suka kepada kecantikan. Jadi, kalau cinta kepada kecantikan berertilah pula cinta kepada Tuhan. Jadi cinta itu bukan dosa tetapi malah suatu pengabdian. Dengan mengenali cinta, makrifah kepada Tuhan semakin mendalam. Cinta kepada Hawa bererti cinta kepada Pencipta. Dengan keyakinan demikian Adam a.s menjemput Hawa dengan berkata: “Kekasihku, ke marilah engkau!” Suaranya halus, penuh kemesraan.

“Aku malu!” balas Hawa seolah-olah menolak. Tangannya, kepalanya, memberi isyarat menolak seraya memandang Adam dengan penuh ketakjuban.

“Kalau engkau yang inginkan aku, engkaulah yang ke sini!” Suaranya yang bagaikan irama seolah-olah memberi harapan.

Adam tidak ragu-ragu. Ia mengayuh langkah gagah mendatangi Hawa. Maka sejak itulah teradat sudah bahawa wanita itu didatangi, bukan mendatangi.

Hawa bangkit dari tempat duduknya, menggeser surut beberapa langkah. Ia sedar bahawa walaupun dirinya diperuntukkan bagi Adam a.s, namunlah haruslah mempunyai syarat-syarat tertentu. Di dalam sanubarinya, ia tak dapat menyangkal bahawa iapun terpesona dan tertarik kepada rupa Adam a.s yang sungguh indah.

Adam a.s tidak putus asa. Ia tahu itu bukan dosa. Ia tahu membaca isi hati. Ia tahu bukannya Hawa menolak, tetapi menghindarnya itu memanglah suatu perbuatan wajar dari sikap malu seorang gadis yang berbudi. Ia tahu bahawa di balik “malu” terselit “rasa mahu”. Kerananya ia yakin pada dirinya bahawa Hawa diperuntukkan baginya. Naluri insaninya bergelora.

Tatkala sudah dekat ia pada Hawa serta hendak mengulurkan tangan sucinya kepadanya, maka tiba-tiba terdengarlah panggilan ghaib berseru:
“Hai Adam….tahanlah dirimu. Pergaulanmu dengan Hawa tidak halal kecuali dengan mahar dan menikah!”.

Adam a.s tertegun, balik ke tempatnya dengan taat. Hawa pun mendengar teguran itu dan hatinya tenteram.
Kedua-dua manusia syurga itu sama terdiam seolah-olah menunggu perintah.

Perkahwinan Adam dan Hawa

Allah SWT. Yang Maha Pengasih untuk menyempurnakan nikmatnya lahir dan batin kepada kedua hamba-Nya yang saling memerlukan itu, segera memerintahkan gadis-gadis bidadari penghuni syurga untuk menghiasi dan menghibur mempelai perempuan itu serta membawakan kepadanya hantaran-hantaran berupa perhiasan-perhiasan syurga. Sementara itu diperintahkan pula kepada malaikat langit untuk berkumpul bersama-sama di bawah pohon “Syajarah Thuba”, menjadi saksi atas pernikahan Adam dan Hawa.

Malaikat dan para bidadari berdatangan

Setelah akad nikah selesai berdatanganlah para malaikat dan para bidadari menyebarkan mutiara-mutiara yaqut dan intan-intan permata kemilau kepada kedua pengantin agung tersebut. Selesai upacara akad, dihantarlah Adam a.s mendapatkan isterinya di istana megah yang akan mereka diami.

Hawa menuntut haknya. Hak yang disyariatkan Tuhan sejak semula.
“Mana mahar?” tanyanya. Ia menolak persentuhan sebelum mahar pemberian ditunaikan dahulu.

Adam a.s bingung seketika. Lalu sedar bahawa untuk menerima haruslah sedia memberi. Ia insaf bahawa yang demikian itu haruslah menjadi kaedah pertama dalam pergaulan hidup.

Sekarang ia sudah mempunyai kawan. Antara sesama kawan harus ada saling memberi dan saling menerima. Pemberian pertama pada pernikahan untuk menerima kehalalan ialah mahar. Oleh kerananya Adam a.s menyedari bahawa tuntutan Hawa untuk menerima mahar adalah benar.

Mahar perkahwinan Adam

Pergaulan hidup adalah persahabatan! Dan pergaulan antara lelaki dengan wanita akan berubah menjadi perkahwinan apabila disertai dengan mahar. Dan kini apakah bentuk mahar yang harus diberikan?
Itulah yang sedang difikirkan Adam.

Untuk keluar dari keraguan, Adam a.s berseru: “Ilahi, Rabbi! Apakah gerangan yang akan kuberikan kepadanya? Emaskah, intankah, perak atau permata?”.

“Bukan!” kata Tuhan.

“Apakah hamba akan berpuasa atau solat atau bertasbih untuk-Mu sebagai maharnya?” tanya Adam a.s dengan penuh pengharapan.

“Bukan!” tegas suara Ghaib.

Adam diam, mententeramkan jiwanya. Kemudian bermohon dengan tekun: “Kalau begitu tunjukilah hamba-Mu jalan keluar!”.

Allah SWT. berfirman: “Mahar Hawa ialah selawat sepuluh kali atas Nabi-Ku, Nabi yang bakal Kubangkit yang membawa pernyataan dari sifat-sifat-Ku: Muhammad, cincin permata dari para anbiya’ dan penutup serta penghulu segala Rasul. Ucapkanlah sepuluh kali!”.
Adam a.s merasa lega. Ia mengucapkan sepuluh kali salawat ke atas Nabi Muhammad SAW. sebagai mahar kepada isterinya. Suatu mahar yang bernilai spiritual, kerana Nabi Muhammad SAW adalah rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi seluruh alam).

Hawa mendengarkannya dan menerimanya sebagai mahar.
“Hai Adam, kini Aku halalkan Hawa bagimu”, perintah Allah, “dan dapatlah ia sebagai isterimu!”.
Adam a.s bersyukur lalu memasuki isterinya dengan ucapan salam. Hawa menyambutnya dengan segala keterbukaan dan cinta kasih yang seimbang.

Allah SWT. berfirman kepada mereka: “Hai Adam, diamlah engkau bersama isterimu di dalam syurga dan makanlah (serta nikmatilah) apa saja yang kamu berdua ingini, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini kerana (apabila mendekatinya) kamu berdua akan menjadi zalim”.

(Al-A’raaf: 19).
Dengan pernikahan ini Adam a.s tidak lagi merasa kesepian di dalam syurga. Inilah percintaan dan pernikahan yang pertama dalam sejarah ummat manusia, dan berlangsung di dalam syurga yang penuh kenikmatan. Iaitu sebuah pernikahan agung yang dihadiri oleh para bidadari, jin dan disaksikan oleh para malaikat.
Peristiwa pernikahan Adam dan Hawa terjadi pada hari Jumaat. Entah berapa lama keduanya berdiam di syurga, hanya Allah SWT yang tahu. Lalu keduanya diperintahkan turun ke bumi. Turun ke bumi untuk menyebar luaskan keturunan yang akan mengabdi kepada Allah SWT dengan janji bahawa syurga itu tetap tersedia di hari kemudian bagi hamba-hamba yang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah SWT.: “Kami berfirman: Turunlah kamu dari syurga itu. Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

(Al-Baqarah: 38)

Dipetik Dari Buku: 1001 Impian Siri 1 ” Rangkaian Kisah-kisah Bidadari”.

post by-ieen's blog