Tuesday, May 3, 2011

" Tahnik Amalan Bermanfaat "

Manfaat "Tahnik"


"Tahnik" bermaksud mengunyah buah kurma atau buah yang seumpamanya (lazimnya kurma) dan kunyahan itu dimasukkan ke dalam mulut bayi yang baru lahir dengan menggunakan jari dan menggerakkan ke kanan dan kiri lelangit bayi. Amalan ini merupakan satu sunah Rasulullah s.a.w sebagaimana dijelaskan dalam beberapa buah hadis.

Daripada Abu Musa al-Asy'ari: "Anak lelakiku baru saja dilahirkan, lantas aku membawanya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menamakannya Ibrahim, lalu mentahniknya dengan buah kurma dan memohon keberkatan baginya. Setelah itu Baginda menyerahkannya semula kepadaku." (Riwayat al-Bukhari no.5467 dan Muslim n0.2145)










Saat bayi lahir ke dunia, mereka telah berpindah dari satu alam ke alam yang lain, iaitu dari alam rahim ke alam dunia. Mereka biasanya terdedah kepada kesakitan dan terdedah pada ancaman hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah) kerana bekalan gula dalam darah mereka sedikit. Biasanya bayi mempunyai 20-30ml/100ml paras gula dalam darah mengikut berat badan yang mana semakin rendah berat badan semakin sedikit paras gula dalam darah.

Kurma mempunyai peratusan gula yang kaya iaitu sekitar 70-80%. Mengandungi kedua-dua jenis gula iaitu glukosa dan fruktosa serta mempunyai kalori yang tinggi. Ia amat cepat dicerna dan sangat berkhasiat untuk otak. Melumatkan kurma dengan mulut dan bercampur dengan air liur mengandungi enzim amilase membantu pencernaan gula kompleks kepada gula ringkas dan lebih mudah dicerna.

MANISAN MENGURANGKAN TINDAKBALAS KESAKITAN PADA BAYI.

Satu kajian yang dibuat atas tajuk Analgesic Effect of Sucrose in Full Term Infants: A Randomised Controlled Trial (Kesan pengurangan kesakitan oleh gula sukrosa pada bayi) yang dilakukan oleh sekumpulan saintis iaitu Nora Haouari, Christoper Wood, Gillian Griffiths dan Malcom Levene di wad ibu bersalin di Leeds, England. Dalam kajian tersebut, 60 orang bayi yang sihat dan cukup bulan berusia 1 hingga 6 hari dipilih dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan 1 (seramai 30 orang, diberi sedikit air kosong ke dalam mulut). Kumpulan 2 ( seramai 3o orang bayi dipecahkan lagi kepada tiga kumpulan mengikut kepekatan larutan sukrosa yang diberi iaitu sebanyak 12.5%, 25% dan 50%. Setiap bayi akan dilakukan prosedur heel prick iaitu dengan mencucuk jarum pada tumit mereka untuk mendapatkan sedikit darah. Prosedur ini akan memberikan sedikit kesakitan pada bayi dan akan memberi respon dengan menangis.


Keputusan kajian yang didapati agak memeranjatkan :



  • Bayi yang menerima larutan sukrosa yang lagi pekat (25% dan 50%) didapati hanya menangis dalam masa yang singkat berbanding bayi yang menerima air kosong.


  • Kadar denyutan jantung bayi dalam kumpulan larutan sukrosa kembali kepada keadaan normal dengan lebih cepat, menunjukkan kesakitan yang ditanggung tidak lama.


  • Bayi yang hanya diberi air kosong menangis dalam tempoh yang lama menunjukkan kesakitan yang dideritai.

Mereka membuat kesimpulan bahawa dengan meletakkan manisan pada mulut bayi akan mengurangkan kesakitan yang mereka deritai. Kajian ini disiarkan dalam The Independent Newspaper (Jun 1995) dan British Medical Journal. Cuba lihat betapa banyaknya manfaat yang boleh didapati jika kita mengikuti sunah Rasulullah s.a.w. Disebabkan itulah dua panduan yang perlu diikuti iaitu Al-Quran dan As-Sunnah maka hidup akan selamat dunia akhirat. Amin...