Monday, October 25, 2010

KISAH UMAR AL-KHATTAB DENGAN PEMBAWA ARAK

Pada suatu hari , sahabat Rasulullah s.a.w iaitu Umar Al-Khattab r.a telah melalui salah satu jalan dari jalan-jalan di Madinah . Sewaktu Umar r.a dalam perjalanan itu , dia telah terlihat seorang pemuda sedang membawa botol di dalam bajunya .
            Setelah menghampiri pemuda itu , lalu Umar A-Khattab r.a pun bertanya ,  “Wahai pemuda , apakah yang sedang kamu bawa di dalam baju kamu itu ?”
Setelah mendengar pertanyaan Umar r.a itu , maka pemuda itupun merasa takut kerana barang yang disembunyikan di dalam bajunya itu , adalah botol-botol yang mengandungi arak .
            Oleh kerana pemuda itu merasa amat takut untuk mengatakan bahawa barang itu adalah botol arak. Maka , ia pun berkata di dalam hatinya , “Ya Tuhanku , tolonglah aku . Janganlah Engkau memalukan aku di hadapan Umar dan aku berjanji tidak akan meminum arak lagi buat selama-lamanya .”
            Lalu berkata pemuda itu kepada Umar r.a “Ya Amirul Mu’minin , sebenarnya barangan yang aku bawa di dalam baju adalah botol-botol yang mengandungi madu .”
            Mendengar jawapan pemuda itu , maka berkata Umar r.a , “Cuba kamu keluarkannya , aku hendak melihatnya .”
            Dengan perasaan yang amat takut dan terketar-ketar , pemuda itupun mengeluarkan sebotol arak itu dan memberikan kepada Umar r.a . Maka dengan kehendak Allah SWT , arak tadi bertukar menjadi madu dan Umar pun mengembalikan botol itu kepada pemuda tersebut .
            Pengajaran daripada kisah ini ialah , betapa hati seseorang itu , hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui . Oleh itu , dalam segala hal , kita hendaklah meminta atau berdoa kepada Allah SWT . Apabila kita inginkan sesuatu perkara , maka mintalah kepada Allah SWT kerana dengan kehendaknya sajalah sesuatu perkara itu boleh berlaku.
            Sebagai hamba Allah , kita dilarang sama sekali mengharap kepada makhluk-makhluk lain kerana makhluk itu tidak berkuasa . Sekiranya Allah SWT hendak mengubahnya , nescaya ianya akan berlaku dan tidak ada siapa yang dapat menghalangnya .

0 comments: