Saturday, April 23, 2011

Kita Tidak Mahu Natijah Yang Cetek


Tuntutan yang utama dan pertama tarbiyyah keatas kita ialah penyerahan jiwa, diri dan fikiran kita sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Dengan ujudnya tuntutan utama dan pertama ini, barulah tarbiyyah dapat berjalan dan matlamatnya dapat dicapai.

Kita telah memperkatakan bahawa tuntutan yang utama dan pertama tarbiyyah keatas kita ialah penyerahan jiwa, diri dan fikiran kita sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Dengan ujudnya tuntutan utama dan pertama ini, barulah tarbiyyah dapat berjalan dan matlamatnya dapat dicapai, InsyaAllah. Tetapi jika kita tiada penyerahan yang total maka akan lahirlah natijah-natijah yang cetek, yang longgar dan bermusim-musim atau sekadar mengikut suasana semata-mata.

Hal ini perlu diperhatikan dengan betul-betul kerana kita tidak mahu natijah yang cetek. Jika penyerahan itu masih belum menyeluruh, masih ada bahagian-bahagian yang tertentu yang masih belum diserahkan atau enggan diserahkan, tentulah natijahnya juga tidak akan menyeluruh, tidak kekal atau sebati dengan individu itu dan sentiasa ada cacat celanya. Inilah yang kita cuba elakkan.

Amal Islami yang merupakan natijah yang lahir dari seseorang itu tertolak jika ianya tidak terbit daripada pemancarnya yang betul. Pemancar yang kita maksudkan di sini ialah Iman itu sendiri. Iman yang dibina melalui pendidikan Islam yang betul, bersumberkan kepada sumber yang sah iaitu al Quran al Karim dan as Sunnah an Nabawiyyah. Dalam sebuah hadith diceritakan bagaimana natijah yang nampak seolah-olah Islamik, tetapi sebenarnya tidak Islamik, telah ditolak oleh Allah s.w.t dan pelaku-pelakunya telah disiksa oleh Allah s.w.t. Abu Hurairah r.a telah berkata bahawa saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :

" Pertama perkara yang akan diputuskan di Hari Qiamat ialah seorang yang mati syahid. Maka dihadapkan dan ditanyakan beberapa nikmat Tuhan. Setelah diakui maka di tanya : apakah perbuatanmu terhadap nikmat itu ?. Jawabnya " Saya telah berjuang untuk Mu sehinggalah mati syahid . Jawab Tuhan : Dusta engkau, tetapi engkau berjuang supaya dikenali sebagai pahlawan dan keberanianmu dan telahpun terkenal demikian. Kemudian diperintahkan supaya diseretkan ke dalam api neraka. Kedua seorang pelajar yang telah pandai membaca serta mengajar al Quran. Ketika dihadapkan ditanya tentang nikmat-nikmat Tuhan. Setelah mengakuinya, ditanya : Apakah perbuatanmu terhadap semua itu ?. Jawabnya : Saya telah mempelajari ilmu dan mengajarnya serta membaca al Quran untuk Mu. Jawab Tuhan : Dusta engkau, tetapi engkau belajar untuk dikenali sebagai orang alim dan dibaca untuk dikenali sebagai qari dan telah terkenal demikian. Kemudian disuruh diseret mukanya dan dilemparkan ke dalam neraka. Ketiga seorang hartawan yang memiliki berbagai macam kekayaan. Ketika dihadapkan ditanya berbagai nikmat Tuhan kepadanya dan ketika telah mengakuinya maka ditanya : Apakah kerja kamu dalam semua itu?. Jawabnya : Tiada suatu jalan pun yang Engkau anjurkan agar aku membelanjakannya, melainkan aku belanja semata-mata untuk Mu. Jawab Tuhan : Dusta engkau, tetapi engkau berbuat demikian untuk dikenali sebagai dermawan. Dan telah dikenali demikian. Kemudian diperintahkan supaya diseret pada mukanya dan dilemparkan ke dalam neraka. " ( Riwayat Muslim )

Kita lihat dari hadith tersebut bagaimana amalan-amalan itu dinilai dari hati atau dinilai menurut apa yang terdapat di dalam hati. Seseorang yang mati syahid itu sungguh tinggi nilaian Allah s.w.t, tetapi jika ia berjuang untuk mencari kemashyuran, maka tidaklah ia dapatinya melainkan azab Allah s.w.t di Hari Akhirat kelak. Di situlah kejayaan atau kegagalan dalam kehidupan seseorang itu ditentukan. Walaupun di dunia ia mendapat kemegahan yang dituntutnya itu, tetapi ia tidak dapat menipu Allah s.w.t dan ia akan dibalas seadil-adilnya, tanpa sedikit kezaliman pun.

Kita boleh melakukan amalan-amalan yang soleh tetapi mesti ditentukan dari dorongan mana yang mendorong kita. Kita boleh mendakwa bahawa kita berubudiyyah kepada Allah s.w.t, tetapi apa yang terdapat di dalam hati kita diketahui oleh Allah s.w.t. Apakah yang tersembunyi di dalamnya. Begitu juga orang-orang yang belajar ilmu untuk digelar sebagai orang alim atau orang yang membaca al Quran untuk dikenali sebagai al Qari, mereka ini akan tertolak. Kita takut hal ini berlaku kepada kita. Kita minta pertolongan Allah s.w.t dari bentuk penyelewengan ini. Kita risau kalau-kalau kita melakukan amalan yang besar, tetapi asasnya tidak betul dan penyerahannya juga tidak betul. Begitu juga dengan hartawan-hartawan yang mendakwa menderma di jalan Allah s.w.t, tetapi sebenarnya menderma luntuk mendapat gelaran hartawan, maka itu juga tertolak.

Penyerahan hati kepada Allah s.w.t perlu dalam segala hal, kerana kita sebagai hamba Allah s.w.t terikat dengan sistem Nya, nilaian Nya, akhlak yang dikehendaki Nya dan juga Deen Nya. Mana-mana bahagian yang masih belum diserahkan itu maka hendaklah segera diserahkan. Oleh yang demikian perlulah kita kikiskan karat-karat, daki-daki dan tinggalan-tinggalan lama jahiliyyah dan didikan yang sekian lama yang kita telah didik dengannya sebelum kita mendapat kesedaran Islam yang hakiki, dengan taufiq dan hidayah Allah s.w.t jua.

Dari hadith tersebut juga dapat juga difahami dan diketahui bahawa kita tidak boleh tertipu dan menganggap bahawa kita telah memiliki persediaan yang cukup dari berbagai segi terutamanya dari segi kejiwaan. Mereka melakukan amalan-amalan yang tinggi nilainya, tetapi lantaran jiwa belum bersedia, belum bersih, mereka terjerumus ke dalam lembah menunjuk-nunjuk, riya’ dan sebagainya.

Titik tolak mesti betul maka barulah akan lahir natijah yang betul. Sebaliknya titik tolak yang tidak betul akan melahirkan sesuatu yang tidak betul. Firman Allah s.w.t :-

Terjemahannya :

" Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada Nya dalam ( menjalankan ) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus " (Surah al Bayyinah : 5 )

Kita tidak boleh lari dari bergerak bersama-sama sahabat kita yang lain yang sedar dan insaf, di dalam barisan yang tersusun rapi. Hanya dengan inilah baru kedapatan " Berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran ".

Disinilah kita sama-sama tegur menegur , nasihat menasihati dan lengkap melengkapi. Disinilah kita hendak membina dan membentuk keperibadian Islam dalam setiap ahli kita dan disinilah kita hendak membuang jahiliyyah dari dalam ldiri kita. Di sinilah kita hendak curahkan kemampuan, tenaga, masa dan wang ringgit kita. Di sinilah sebenarnya medan kita. Di sinilah hati-hati kita patuh berkumpul, bukannya dalam kelompok yang amat berbeza dengan kita, kelompok yang hanya bermatlamatkan dunia semata-mata atau kelompok yang tidak bermatlamatkan Allah s.w.t.

Wallah hu A’alam.

post by:HALUANtarbawi

1 comments:

NAZREE said...

Alhamdullilah, sebagai balasan kerana menikuti contest yang dianjurkan THE BLADERZ, saya telah letak link anda sebaris dengan blogger hijau yang lain. InsyaAllah tiap-tiap entri yang anda post, anda akan dapat 1 komen special dari saya. Terima kasih~ hehe